Khamis, 27 Mac 2008

Selepas kalah baru kerajaan faham kesusahan rakyat

Langkah ringankan beban rakyat - harga minyak, gas kekal. Tarif elektrik tidak naik. Pembaziran subsidi ditangani. Inilah tajuk berita sebuah akhbar tempatan pada 26 Mac lalu.

Benarlah orang kata, ahli politik paling takut sekali apabila mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya. Ini membuktikan bahawa rakyat sebenarnya raja bukan kuli pemimpin.

Apabila rakyat ada maruah, maka mereka akan mengajar pemimpin yang berkepala batu seperti pemimpin Umno-BN yang tidak pernah mendengar suara rakyat.
Apabila rakyat membantah kenaikan harga minyak di depan KLCC mereka arahkan polis membelasah rakyat yang tidak bersenjata sehingga Amran dari Merbok, Kedah di belasah separuh nyawa. Pukulan yang boleh membawa maut. Hanya Allah yang masih memanjangkan umur Amran.

Tidakan kerajaan untuk tidak menaikan harga minyak, gas dan elektrik adalah hasil perjuangan rakyat dengan membayar harga yang mahal.

Rakyat terpaksa bermandikan air asid, gas pemedih mata, cota FRU, penyepak FRU, makan nasi bungkus dan tidur dengan pijat dalam lokap polis.

Rakyat telah tolak pemimpin Umno-BN dalam pilihan raya. Perlu diingat bahawa kerajaan tidak naik harga minyak bukan kerana mereka prihatin kepada rakyat, cuma kerana takut terbang beberapa negeri lagi dan kerajaan Pusat bertukar tangan dalam pilihan raya akan datang.

Bukankah sebelum ini mereka begitu angkuh menolak hujah dan cadangan Barisan Alternatif untuk menurunkan harga minyak 30 sen. Mereka dakwa ini boleh membawa negara jadi bankrap. Kenapa sekarang lain pula bunyinya.

Inilah buktinya apabila rakyat bermaruah kerajaan tidak berani bermewah. Ini baru mereka kalah lima negeri dan hilang kuasa dua pertiga. Cuba bayangkan apabila BA memerintah peringkat Pusat maka banyak lagi keselesaan rakyat dapat dinikmati oleh semua.

Walaupun kuasa negeri agak sedikit dan pendapatan negeri hanya cukai tanah, perhutanan, cukai pintu, zakat, air beberapa perubahan sudah dimaklumkan untuk semua rakyat dapat nikmati bersama.

Selangor sudah mengisytiharkan akan memberi air percuma kepada rakyat sebanyak 20 meter padu setiap bulan. Kedah akan menurunkan cukai tanah. Pulau Pinang menghapuskan kompaun yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, menaikan elaun guru Kafa RM600. Kerajaan Perak telah mengumumkan pembatalan kompaun.

Kerajaan Kelantan memang sedia maklum telah mendahului banyak perkara untuk kebajikan rakayat yang tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno-BN. Rakyat yang masih berada di bawah BN-Umno tidak ada perubahan.

Johor akan berubah juga, iaitu banyak tanah dan bangunan akan dimiliki oleh orang Singapura. Menang sorak kampung tergadai. Inilah hadiah BN pada mereka yang masih tidak bersedia untuk berubah.

Rupa-rupanya pemimpin Umno-BN yang benak dan lambat memahami masalah rakyat tidak pernah faham apa penderitaan rakyat.

Mereka menjawab dengan helah politik bahawa minyak kena naik kalau tidak negara akan bankrap. Mereka berkempen dengan orang yang buta maklumat bahawa oleh kerana minyak dunia naik maka negara kita tidak boleh turunkan harga minyak.

Inilah hujah yang pemimpin Umno perbodohkan rakyat melalui media mereka. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato' Najib Tun Razak dan Khairy Jamaludin mana dia ambil tahu berapa harga sekilo gula, secekak sawi. Mereka semua hidup mewah dan tidak pernah terasa penderitaan rakyat.

Tetapi apabila mereka hilang lima negeri baru mereka tahu bahawa rakyat mereka sekarang sudah pandai pakai seluar, kerana selama ini mereka anggap rakyat Malaysia masih cawat dan tidak tamaddun, tidak pandai guna internet dan tidak tahu apa yang mereka lakukan terhadap khazanah negara.

Ini baru kalah lima negari dan mempunyai suara pembangkang yang kuat di Parlimen. Inilah sejarah negara dengan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan 82 kerusi manakala BN hanya ada 140 kerusi.

Cuba bayangkan bagaimana suasana Parlimen yang mempunyai tokoh-tokoh yang hebat untuk mendedah dan membongkar penyelewengan kerajaan.

Kita hendak tengok lagak hero Rembau menantu kesayangan di dalam Parlimen. Selama ini dia begitu lantang sehingga menggelarkan pendemontrasi aman sebagai beruk. Tetapi tidak dengar pula Khairy gelar pemimpin Umno yang buat demo di depan Komtar sebagai beruk mat yeh. - lanh

Selasa, 25 Mac 2008

Barisan Menteri Kerajaan Selangor


klik gambar untuk pembesaran imej

Tiada Timbalan MB Selangor

KLANG 24 Mac – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor hari ini mengumumkan barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tanpa jawatan timbalan menteri besar.

Exco daripada PKR ialah Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr. Xavier Jayakumar; daripada DAP ialah Teresa Kok, Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah, manakala daripada Pas ialah Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali, Dr. Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua portfolio berkenaan akan diteliti semula selepas enam bulan bagi menentukan keberkesanannya terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

“Selepas tempoh itu, kita akan menilai semula keberkesanannya dan jika perlu kita akan buat perubahan untuk meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran negeri,” katanya ketika mengumumkan senarai Exco di sini hari ini.

Terdahulu 10 anggota Exco terlibat menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.

Mengenai permintaan DAP untuk mewujudkan jawatan timbalan menteri besar, Abdul Khalid menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak membincangkan perkara itu.

“Kita tidak ada jawatan timbalan menteri besar. Bagaimanapun kita akan membuat penilaian terhadap prestasi Exco untuk mengisi jawatan ini jika perlu pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, anggota Exco yang dilantik itu terdiri daripada mereka yang memiliki pengalaman dan kelulusan akademik sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Abdul Khalid, beliau akan memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia dan Sukan.

Teresa dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan manakala Hassan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Yaakob pula memegang portfolio Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber dan Pembangunan Usahawan), Rodziah (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Teknologi dan Inovasi); Dr. Xavier (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) dan Dr. Halimah (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan).

Anggota Exco lain ialah Iskandar (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan); Ronnie Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan), Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar) dan Hian Wah (Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram).

Selasa, 4 Mac 2008

Operasi Rahsia Selama 5 Tahun Terbongkar

KEPALA BATAS - Jika anda penggemar makanan berasaskan bebola ikan, wajar siasat semula kaedah pengeluarannya untuk mengelak termakan benda haram. Ini kerana sebuah kilang di sini yang mengeluarkan makanan tersebut sejak lima tahun lalu, dikesan mencampurkan daging dan perut babi bersama isi ikan dan tepung untuk membuat bebola ikan. Malah, kumpulan wartawan yang menyertai serbuan ke kilang itu bersama 20 pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKSPP) turut terkejut apabila melihat sebuah periuk besar berisi minyak masak yang dipercayai digunakan berulang kali untuk menghasilkan produk makanan di situ.

Lebih menjijikkan apabila minyak masak itu yang ditempatkan di dalam periuk di luar kilang, sudah bertukar rupa menjadi hitam serta likat seperti minyak pelincir kenderaan.

Ternyata serbuan yang diketuai Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ideris Mohamad bakal membuka mata ramai pihak terutama penggemar makanan berasaskan bebola ikan dan golongan peniaga mengenai status kebersihannya. "Tindakan pengusaha kilang ini dengan menyimpan perut dan daging babi bersama bahan mentah lain termasuk ikan di dalam satu peti penyejuk memang nyata salah. "Alasan mereka daging berkenaan adalah untuk kegunaan para pekerja juga tidak masuk akal kerana kuantiti bahan yang disimpan itu terlalu banyak dan hasil siasatan mendapati memang mereka mencampurkan daging babi itu untuk membuat bebola ikan," jelas Ideris.


Produk dari kilang berkenaan dipercayai dipasarkan secara meluas khususnya di Seberang Perai hingga meliputi Kulim dan beberapa kawasan lain. Menurut Ideris, kilang itu pernah diserbu setahun lalu dan diarah tutup selama dua minggu atas kesalahan terlalu kotor. Namun, serbuan semalam membuktikan tidak banyak perubahan berlaku. Justeru, pihaknya telah merampas semua bahan makanan di kilang itu yang dianggarkan bernilai lebih RM300,000 selain pengambilan sampel produk untuk ujian. Jelas Ideris, jika disabit kesalahan, pengusaha kilang boleh didakwa di bawah Seksyen 13B semalam.Akta Makanan 1983 kerana memproses makanan tidak mengikut spesifikasi dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lapan tahun. Kilang itu juga diarah tutup selama 14 hari.

AWAS : JANGAN MAKAN LAGI FISHBAL, NUGGET KALAU ANDA TAK KENAI /TAHU SIAPA PEMBUATNYA TERUTAMA DI PASAR MALAM.