Sabtu, 11 Disember 2010

Perginya Seorang Anak (Sofiyatul Ulya)


Sofiyatul Ulya, seorang anak yang telah pulang ke rahmatullah. walaupun hati ini tidak mengenali siapakah dia dan kedua ibu bapa mereka, namun hati ini terasa akan kesedihan yang menimpa akan kedua ibu bapa nya..

Berita ini tidaklah ku terima dengan sepenuhnya, tetapi melalui mesej dari rakan rakan di sana dan hasil pencarian di bloggers dari mesir, blog "nurulhusna", adik sofiah menghidap penyakit pneumonia (jangkitan pada peparu).

Diharap Mohd Faizol Endut dan Siti Anisah Ahmad menerima hakikat ini dalam keadaan yang tenang dan redha. Memang mudah lidah ini untuk memberikan kata sabar.. sabar. sabar.. tetapi aplikasi kesabaran itu bukan mudah untuk dibentuk. Jika diri ini berlaku pada diri sendiri, belum tentu diri aku sebagai seorang walid mampu menerima keadaan kehilangan seorang anak.

Ku doakan dikau lebih tenang di sana wahai adik sofiah..

Selasa, 16 Mac 2010

Kebahagiaan Dan Ketenangan

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
هو الذى أنزل السكينة فى قلوب المؤمنين ليزدادوا إيمانا مع إيمانهم ولله جنود السماوات والأرض وكان الله عليما حكيما
Bermaksud : Dialah telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah disamping keimanan mereka ( yang telah ada ). Dan kepunyaan Allahlah tentera langit dan bumi dan Allah lagi Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. ( al-fath : 4 )

Sebab diturunkan ayat : Ketika pembukaan Kota Mekah, para sahabat menjadi ketakutan untuk melakukan serangan demi menawan kembali kota Mekah yang setelah lama didiami mereka. Dalam hati mereka timbul kegusaran samada mereka yang ditawan atau menerima kekalahan. Maka Allah turunkan ayat ini untuk memberikan ketenteraman kepada tentera-tentera Allah.

Hikmah untuk pejuang Islam :
Semua pejuang Allah, tidaklah kamu semua perlu gusar dalam memperjuangkan Agama Allah kerana kemenangan itu pasti dan dijamin oleh Allah SWT. Sebelum mencapai kemenangan, perlulah pejuang-pejuang Allah mengisi dan menguatkan pengisian rohani dalam meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Kerana, dalam mencapai kemenangan, tidaklah seharusnya setiap individu merebut kuasa dan pangkat dalam pentadbiran mahupun mana mana pertubuhan. Jika ini masih terdetik didalam hati, kemenangan yang Allah janjikan pasti akan tertunda.

Jalan mencapai ketenangan dalam hati terdapat beberapa jalan, iaitu :
- Mengenali Allah.
- Duduk di dalam majlis ilmu
- Mengamalkan ilmu
- Usaha menyampaikan ilmu
- Tingkatkan jihad.

Musuh Islam sentiasa berada di mana-mana. Yang paling dekat ialah nafsu. Nafsu adalah musuh paling utama dalam memperlambatkan gerak dakwah dan jihad dalam Islam. Jika kita melepasi musuh terdekat ini, kita akan hadapi musuh kedua iaitu orang Islam yang tidak inginkan kebangkitan Islam. Musuh yang terakhir adalah, kafir harbi. ( Kafir yang ingin memerangi Islam )

Percayalah, kemenangan pasti berlaku. Tunggu masa, usaha, doa dan tawakkal. Disitulah manusia akan mengetahui, ketenangan dan kebahagiaan berada dalam Islam.

Ahad, 14 Februari 2010

Hukum Menyambut Hari Valentine

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Valentine’s Day atau Hari Memperingati Kekasih dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Saban tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Valentine ini namun ianya seperti menuang air ke daun keladi. Oleh itu penulis melihat begitu pentingnya untuk mengupas sejarah sambutan Hari Valentine ini agar ianya dapat menyedarkan muda-mudi kita yang hanyut di lautan cinta bahawa ianya adalah sambutan yang berkaitan dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian. Hari Valentine tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.

SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Bila kita membicarakan tentang sejarah sambutan hari Valentine maka kita akan dapati bahawa terdapat 4 pendapat berkaitan dengannya.

Ø Pendapat pertama mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari ini para pemuda Rom memilih nama-nama gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak. Setiap pemuda tersebut kemudiannya akan mencabut nama tersebut dari dalam kotak itu secara rawak. Nama gadis yang tertera di dalam kertas tersebut akan menjadi pasangan yang akan menjadi objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan dewa Lupercalia dari gangguan serigala. Pada hari ini mereka akan menyembelih seekor anjing dan kambing. Kemudian mereka akan memilih 2 pemuda Rom yang dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang tersebut ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Setelah itu akan di adakan perarakan besar-besaran yang diketuai 2 pemuda tersebut dan mereka berdua akan memukul orang ramai yang berada di laluan mereka dengan kulit binatang dan para wanita akan berebut-rebut untuk menerima pukulan tersebut kerana mereka beranggapan ianya akan menambahkan kesuburan mereka.

Ø Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat 2 versi cerita berkaitan dengan St. Valentine ini.

Versi pertama. Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa. St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara meloloskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorban yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. Malah St. Valentine disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu). Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine.

Versi kedua. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Ø Pendapat ketiga. Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Ø Pendapat keempat. menyatakan sambutan hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawan burung yang jatuh pada 14hb Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

Disini kita dapat melihat dengan jelas bahawa asal-usul sambutan Hari Valentine ini tidak ada hubung-kaitnya dengan budaya serta agama bagi umat Islam.

Hukum Menyambut Hari Valentine

Sebagaimana yang telah termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dan disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini sebagaimana yang firman Allah S.W.T.:

Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus. – al-Hajj : 67

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai, no: 959.

Oleh itu hendaklah umat Islam hanya membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu 3 kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Mawlid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Qur’an dan lain-lain lagi. Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masehi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabdanya: Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud, hadis no: 3512.

Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Rom Kuno dan juga Kristian sebagaimana yang telah penulis paparkan sebelum ini. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam. Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Valentine sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.. Tambahan pula sambutan Hari Valentine ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan Hari Valentine ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah s.w.t. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). – al-Israa’ : 32

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 Februari 2007, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredhai Allah S.W.T.. Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)”. –Al-Baqarah (2) : 120

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Valentine ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”. – al-Hijr (15) : 39-40

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Valentine adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Justeru itu hendaklah pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang budaya golongan yang ingkar kepada Allah ini dari diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Media Massa sepatutnya dihalang dari memasyhurkan sambutan Hari Valentine ini kepada umat Islam. Sebagai gantian media massa perlu digunakan untuk menyebarkan fatwa-fatwa para ulamak yang mengharamkan sambutan Hari Valentine.

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Sabtu, 16 Januari 2010

Pengiktirafan JPA

Alhamdulillah,
Dikesempatan ini, saya nak cuba kongsikan kepada rakan-rakan di mesir atau di negara lain mengenai dokumen yang perlu dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya, untuk urusan pengiktirafan sijil. Jangan kata rakan yang lain, saya sendiri terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil satu dokumen yang tidak terlintas difikiran saya ia amat penting untuk dilihat.

Jadi, sebelum pergi sediakanlah dokumen-dokumen tersebut,
-salinan kad pengenalan
-salinan sijil sementara ( muaqqatah ) - melayu dan arab
-salinan transkip ijazah semua semester / tahun ( keputusan peperiksaan ) - melayu dan arab
-salinan sijil diploma
-salinan transkip diploma semua semester / tahun
-salinan surat tawaran menyambung pengajian ke IPT ( diploma dan mesir )
-salinan surat pengesahan pengajian ketika berada di IPT ( diploma )
-salinan sijil yang anda gunakan untuk masuk ke IPT ( diploma )
-salinan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM )
-surat penaja ( jika anda ditaja)
-salinan pasport dan visa terakhir ketika berada di mesir.
-jika ada pasport lama, sila bawa pasport lama.

semua salinan perlu disahkan dan jangan lupa bawa yang asal.

jangan sampai anda semua terpaksa pulang dan datang kali ke 2,3 atau seterusnya. Borang anda boleh dapat di pejabat tersebut. Ingin bagi 'by hand' boleh, ' by post' pun boleh. Tapi saya sarankan, terus ke sana. Tetapi, kena pastikan semua dokumen di atas kena bawa.

Ada beberapa dokumen yang tidak tertera untuk diminta, tetapi anda semua harus kemukakan. Jadi, jangan buang masa anda seperti nasib saya dan rakan-rakan yang lain. Dokumen-dokumen yang saya berikan diatas adalah sebagaimana mereka minta dari saya. Jadi jika perkara di atas tidak berlaku selepas ini, itu adalah rezeki yang Allah berikan kepada anda semua.

Ahad, 3 Januari 2010

Al-fatihah Buat Sahabatku

Al-fatihah buat saudara seperjuanganku Mohd Hidayatus Saufi Bin Md Khalid. Beliau berasa dari Mersing Johor. Sahabat seperjuangan saya ketika berada di Mesir. Walau kami terpisah dengan jarak 180km (antara cairo - alex). Namun hubungan sebagai pejuang di bumi Mesir masih terjalin.

Beliau mempunyai blog, http://hidayahsufie.blogspot.com/ dan banyak artikel serta sumbangan terhadap islam yang dilakukan. Alhamdulillah, jika ini sumbangan diberikan, saya redha pemergiannya.

Cuma sayangnya, kami tidak tidak sempat berjumpa sebelum kaki ini terangkat kali terakhir di bumi Mesir. Sahabat perjuangan, semoga kau berada di dalam naungan rahmat dan maghfirah Allah S.W.T.Mohd Hidayatus Saufi Bin Md Khalid, Al-Fatihah.

Tanggungjawab Kepada Anak

Alhamdulillah,
Tanggungjawab sebagai seorang bapa telah saya lakukan dengan baik pada hari semalam. Walau saya terlupa untuk melakukan lebih awal, namun Allah bagi kemudahan untuk memberikan peluang untuk anak sulong saya, Raudhah Hannaniy memasuki alam persekolahan pada hari esok.

Tak sabar-sabar dia nak masuk sekolah. Biasalah budak-budak, inginkan benda yang baru. Tak sangka, umur 5 tahun, Allah bagi peluang pada dia untuk memasuki alam pembelajaran. Sebagai seorang bapa, tidak dapat tidak ingin lihat anak-anaknya berjaya. Tetapi seorang bapa yang muslim perlu beberapa perkara yang harus disusun bagi mencapai matlamat dirinya untuk saham dikubur dan diakhirat kelak.

قَوْله صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا مِنْ مَوْلُود إِلَّا يُولَد عَلَى الْفِطْرَة , فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ

صحيح مسلم

bermaksud : Rasulullah saw. bersabda: Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi.

Itulah hadis yang sering bermain di dalam pemikiran saya. Walau mencorak anak ketika di dalam perut ibu lagi. Namun, ketika melangkah ke alam persekolahan lebih memberikan kita satu cabaran yang lebih getir lagi. Ini dikeranakan, faktor kawan, persekitaran dan pengajar akan memainkan lebih banyak peranan penting dalam mendidik anak-anak.

Sasaran saya ingin anak yang ramai. Agar mereka menjadi orang yang tinggi imannya, murni islamnya dan bersifatkan ihsan. itulah kunci kejayaan seorang ibu bapa untuk membawa bekal ke alam lain selepas ini.

Di sini, saya ingin berkongsi sasaran kejayaan anak-anak saya. Dikalangan mereka ingin saya jadikan mereka huffaz Al-Quran. Anak-anak peremuan ingin saya didik menjadi seorang doktor. Anak-anak lelaki, diantara mereka guru agama, usahawan (setakat ini yang saya sasarkan ). Di atas kertas semua mampu merancang. Tetapi, apakah secara praktikal berjaya?

Senjata orang beriman, berusaha berdoa dan bertawakkal.

Saya minta perlindungan daripada Allah daripada anak-anak saya menjadi pelakon, penyanyi, penari seperti zaman sekarang. Peluang ke arah itu amat terbuka luas kerana terlalu banyak pertandingan-pertandingan, tadika-tadika, pusat latihan yang menyediakan bahan-bahan tersebut. Lihat sahaja di media, pertandingan idola kecil yang lebih menggalakkan anak-anak mereka menjadi penyanyi.

Sebab itu bila saya pakaikan tudung kepada anak, orang suka tegur "biarlah, dia kecik lagi". Bagi saya "melentur buluh biarlah dari rebungnya" Semoga anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh/solehah hingga ke akhir hayat mereka. Kerana dari merekalah, kita perlukan doa ketika kta berada di dalam kubur.


Sabtu, 2 Januari 2010

TAWAS (Tabung Warisan Anak Selangor)

Sebelum ni saya tercari-cari bagaimana kerajaan negeri Selangor memberi RM100 setiap anak yang lahir di negeri Selangor. Lalu saya mencari di dalam internet melalui ayat berikut ' cara membuat tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran di negeri selangor '. Kini, barulah saya paham bahawa pemberian RM100 itu dimasukkan ke dalam tabung dan boleh dituntut selepas ulang tahun yang ke 18 dan memperolehi RM1500. Alhamdulillah, itu salah satu jalan alternatif yang terbaik daripada sebelum ini yang tiada.

Jika orang seperti saya ini sukar nak mencari berita seperti itu, saya mengambil jalan alternatif untuk berkongsi maklumat bersama pembaca dalam blog saya.

1. Apakah yang dimaksudkan dengan TAWAS?
TAWAS adalah singkatan kepada Tabung Warisan Anak Selangor. Tabung ini diwujudkan selaras dengan tawaran Kerajaan Negeri untuk membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor.

2. Apakah faedah yang akan diterima daripada tabung ini?
Faedah-faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:-
a) Setiap anak kelahiran akan diberi RM100 melalui pelaburan di dalam tabung ini.
b) Anak-anak akan dilindungi insurans sehingga berusia 18 tahun.
c) Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM1,500 seorang hasil daripada caruman di dalam pelaburan dana ini.

3. Apakah syarat-syarat permohonan tabung ini?
Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:-
a) Permohonan adalah terbuka kepada Warganegara Malaysia sahaja dan tertakluk kepada tafsiran anak Selangor. Bagi tujuan TAWAS tafsiran anak Selangor adalah seperti berikut:-
“Anak Selangor” bermaksud rakyat D.Y.M.M. Sultan Selangor yang memenuhi kriteria seperti berikut:-
• Warganegara Malaysia; dan
• Lahir di Negeri Selangor atau di luar Negeri Selangor; dan
• Ibu atau bapa lahir di Negeri Selangor; atau
• Ibu atau Bapa lahir di Kuala Lumpur sebelum 1 Februari 1974.
b) Kelahiran mulai 1 Januari 2008 adalah layak untuk memohon. Permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelahiran dan bagi kelahiran sebelum tarikh pelancaran, permohonan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 6 bulan dari tarikh pelancaran.

4. Bagaimana prosedur permohonan tabung ini?
Prosedur permohonan adalah seperti berikut:-
a. Pendaftaran bagi setiap anak adalah RM10.

b. Di peringkat permulaan, Pusat Pendaftaran akan dibuka pada waktu pejabat (8.00 pagi – 4.30 petang) di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

c. Setiap pendaftaran hendaklah dibuat oleh Ibubapa/penjaga dengan menyertakan dokumen sokongan (asal dan salinan) berikut:
(i) Sijil kelahiran / Mykid anak; dan
(ii) Kad Pengenalan Ibubapa/penjaga.

d. Setiap pendaftaran akan diberi Sijil Pelaburan yang perlu disimpan dengan baik sebagai bukti
caruman di dalam Tabung ini.

5. Bagaimana sekiranya pemohon ingin membuat tuntutan atau mencairkan pelaburan?
Tuntutan boleh dibuat seperti berikut:-
a. Setiap pencarum boleh memilih untuk mencairkan pelaburan pada:
(i) Ulangtahun Pertama pada jumlah RM110.00;

ATAU

(ii) Ulangtahun ke-18 pada jumlah RM1,500.00.

b. Bagi Ibubapa/penjaga yang memilih pilihan (ii), pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan menghubungi pencarum pada ulangtahun ke-18 untuk urusan bayaran caruman berjumlah RM1,500.00.

c. Pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) juga berkemungkinan akan mengumumkan pembayaran bonus pada setiap 5 tahun selama tempoh caruman di dalam Tabung ini.

d. Bayaran akan dibuat kepada pencarum dengan hanya mengemukakan Sijil Pelaburan sebagai bukti caruman di dalam Tabung ini.

6. Bilakah tarikh pelaksanaannya?
31 Ogos 2008

7. Di mana mendapatkan borang pendaftaran? baru
i. Borang boleh diperolehi dari kaunter Project TAWAS di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam

8. Siapakah urusetia yang boleh dihubungi untuk pertanyaan selanjutnya? baru

Projek TAWAS
Tingkat (LG), Bangunan Darul Ehsan (bersebelahan Plaza Alam Sentral)
No. 3, Jalan Indah, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-55103498 / 03-55103499

Kemaskini pada 7 April 2009

sumber : klik di sini

Jumaat, 1 Januari 2010

Kemalangan Dan Peringatan

Allahu Akbar,
Lama sungguh tangan ni tak menaip untuk memberi pandangan peribadi untuk pembaca. Sehingga tidak sedar, sudah masuk tahun baru hijrah dan masehi. Maklumlah, dah mula sibuk. begitulah kehidupan yang harus dilalui.

Kat sini, sekadar nak berkongsi pandangan dan pendapat isu kemalangan jalan raya baru-baru ini, yang membabitkan bas dan kematian 10 org penumpangnya. Bila saya tengok berita, macam macam sudut dipersalahkan. Bermula dari pemandu bas, yang sering dipersalahkan kerana memandu tidak mematuhi had laju. Kemudian, pemandu bas pula menyalahkan company masing-masing kerana aturan jadual yang padat menjadi punca pemandu terkejar-kejar untuk sampai tepat pada waktunya.

Selama ini saya tertunggu-tunggu, siapakah yang bakal memberikan respon yang terbaik jika dilihat dari sudut aqidah dan tauhid. Sampai sekarang, media tidak mempamerkan mana-mana golongan menyentuh isu berkaitan berkenaan (mengikut pengetahuan saya).

Suka saya berikan pandangan, sebelum ini saya seorang perantau mencari ilmu disekitar dalam negara Malaysia tercinta ini. Sudah tentu, kenderaan yang saya naiki adalah BAS. Alangkah sedihnya saya, ke mana-mana destinasi yang saya pergi, pemandu bas jarang sekali saya temu untuk turun menunaikan solat fardhu. Jika beralasan jamak, bila zohor tak tunaikan, sudah tentu berlaku pada waktu asar. Tetapi sayang, rupa-rupanya jamak takyah yang dia lakukan.

Bahkan saya sendiri pernah diberi arahan dengan nada kasar, supaya 5 minit sahaja peluang diberikan untuk menunaikan solat. Manakala, perhentian bukan kawasan perhentian yang besar. Kadang-kadang saya lihat, mereka lebih gemar berborak kosong sambil menghisap rokok sambil ketawa bersama rakan-rakan. Kemanakah jatidiri mereka sebagai seorang muslim.

Kita tidak perlu pandang kepada pemandu bas, penumpang pun lebih kurang samanya. Kesempatan yang ada tidak dilakukan untuk bertemu Allah di dalam solat. Tetapi, mereka tidak sedar, kematian bakal berlaku beberapa KM dihadapan. Nauzubillahi Min Zalik.

Saidina Umar pernah berkata, adakah kamu yakin kamu akan hidup selepas waktu ini?

Saya bukan ingin mencemuh sesiapa dan takabbur bahawa saya orang yang menunaikan solat. Tapi, apa yang berlaku sekarang ini. Kemalangan membabitkan bas semakin popular ekoran kesilapan yang saya nyatakan di atas. Bukan semua pemandu dan penumpang begitu. Mungkin Allah menetapkan saya menaiki bas yang dimiliki oleh mereka berperangai sedemikian.

Bagi syarikat pemilikan bas di Malaysia, saya mencadangkan, jika ingin mengambil pemandu, lakukan kelulusan ujian temuduga melalui faktor-faktor berikut ;
1- boleh solat.
2- tahu jamak taqdim dan ta'khir.
3- tegas memberitau penumpang untuk melakukan solat.

Insya allah, dengan cara ini, saya yakin Allah akan melindungi semua orang yang berada di dalam kenderaan. Perkara di atas bukanlah ditujukan kepada bas sahaja. Kita naik kenderaan lain pun begitu juga. Saya seorang penunggang motor untuk pergi kerja, sering kali minta dijauhkan berlaku kemalangan perkara-perkara yang tidak diingini. Saya yakin, orang lain juga begitu.

Diharap, pandangan ini dapat membuka mata semua pihak kenapa bala menimpa kita.

Tazkiah kepada keluarga yang terbabit, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka. Al-fatihah.