Jumaat, 15 Jun 2007

Pelajar Malaysia di al-Azhar maut ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir, mati selepas ditikam lebih 10 kali oleh rakan senegara, yang dipercayai mengalami tekanan mental, dalam kejadian di rumah sewa mangsa, malam kelmarin.

Mohammad Ishak, 22, dari Kampung Pangkalan Raja Wali, Chendering, Terengganu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Antarabangsa As-Sallam, Kaherah kerana kecederaan parah di kepala akibat dipukul dan ditikam bertubi-tubi pada leher pada kejadian jam 8.30 malam (1.30 pagi waktu Malaysia).

Suspek, juga pelajar universiti itu berusia 22 tahun dan berasal dari Dengkil, Selangor, kini ditahan polis Mesir bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Abang mangsa, Hussin, 28, yang ditemui Berita Harian di Chendering bagaimanapun berkata, Mohammad mungkin menjadi mangsa keadaan kerana suspek sebelum itu dikatakan mencari dua rakan serumah adiknya.

Beliau yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Yang Dipertua Dewan Perwakilan Pelajar Mansurah, Ali Zulfakar, berkata suspek mengunjungi rumah sewa adiknya kira-kira jam 7 malam tetapi dua rakan serumah Mohammad tiada.

“Ketika itu Mohammad keseorangan dan sedang menggunakan komputer. Selepas gagal menemui rakan serumah Mohammad, suspek dikatakan meluru ke dapur dan mengambil pisau,” katanya yang turut menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bagi mengesahkan kejadian itu, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mangsa adalah pelajar tahun pertama jurusan Usuluddin manakala suspek menuntut di tahun tiga jurusan Pengajian Islam.

Hussin yang juga bekas pelajar universiti itu dan kembali ke tanah air pada 2005, turut mengenali suspek ketika di sana dan menyifatkannya sebagai seorang yang pendiam.

Katanya, berdasarkan maklumat rakannya di sana, suspek dipercayai mengalami tekanan akibat peperiksaan dan pernah berselisih pendapat dengan rakan serumah adiknya.

Beliau berkata, Mohammad tidak mendapat tajaan mana-mana pihak dan keluarganya menghantar RM200 sebulan untuk perbelanjaan. Keluarganya reda Mohammad dikebumikan di Kaherah kerana mereka tidak mampu membawa jenazah pulang.

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kerajaan negeri sedia membiayai kos membawa pulang jenazah yang akan diuruskan Yayasan Terengganu.

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Mansurah ketika dihubungi berkata, mangsa dan suspek saling mengenali, malah sering berkunjung ke rumah sewa Mohammad.

Pelajar itu berkata, suspek dikatakan membawa tiga pisau, termasuk satu pisau pemotong daging yang baru dibeli.

Jurucakap Bahagian Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Kaherah ketika dihubungi pula berkata, suspek ditahan bersama tiga pisau berlumuran darah, dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, tidak dapat dihubungi kerana dikatakan ke tempat kejadian, kira-kira dua jam perjalanan dari Kaherah.

dipetik dari akhbar malaysia : http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Mukadepan/20070614233112/Article/

pembetulan : mangsa merupakan pelajar tahun 3 usuluddin..

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

‘Makcik tidak maafkan dia’
Oleh NOR AZIAH JAAFAR



Zaharah Mohamad (kiri) tidak dapat menahan sebak dan ditenteramkan oleh adik iparnya, Khamsah Abdul Rahman pada pengkebumian anaknya, Mohamad Ishak di Tanah Perkuburan Kampung Laut, Kuala Terengganu, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 17 Jun – ‘‘Makcik tidak maafkan dia, apa yang dia buat pada anak makcik adalah zalim, terlalu kejam,” luah Zaharah Mohamad, 58, ibu pelajar Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir terhadap tindakan pelajar yang menikam anaknya sehingga mati, Rabu lalu.

Walaupun menyedari segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya, dia tidak dapat menahan sedih dan marah apabila anaknya, Mohamad Ishak, 22, diperlakukan seperti binatang.

Katanya, dia dapat membayangkan bagaimana anaknya ditikam berulang kali tanpa belas kasihan sehingga pisau yang digunakan patah walaupun mangsa cuba melarikan diri sehingga ke dalam tandas untuk mengelak daripada terus diserang.

‘‘Zalim, memang kejam, tiada perikemanusiaan langsung. Dia buat anak saya macam kambing...macam binatang, walaupun Mohamad lari ke dalam tandas, dia tikam lagi, lari ke pintu hingga kain pelekat terlondeh, dia tikam lagi.

‘‘Sekali dia tikam tak mengapa, tapi 10 kali dia tikam. Makcik boleh nampak macam mana dia menikam anak makcik yang sudah telanjang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Rajawali, Chendering di sini selepas upacara pengkebumian Mohamad, pagi ini.

Jenazah pelajar kursus Usuluddin itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari Mesir kira-kira pukul 9.10 malam tadi dan dibawa pulang ke rumahnya dengan van jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan tiba kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

Jenazah kemudian disembahyangkan di rumahnya dengan diimamkan oleh guru sekolah pondok, Abdul Rahman Ahmad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Laut, Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 pagi ini.

Lebih 100 orang menghadiri upacara pengkebumian tersebut termasuk Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di Kaherah, Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti serta wakil Yayasan Terengganu.

Mohamad anak kesembilan daripada 12 beradik dikebumikan di sebelah kubur kakak dan adiknya, Zuraida dan Zuarida selepas bacaan talkin yang dipimpin oleh imam Masjid Kampung Laut, Mohd. Rosdi Abdul Rahman.

Walaupun tidak dapat menahan kesedihan, Zaharah berpuas hati kerana dapat menatap wajah Mohamad buat kali terakhir selepas berpisah kira-kira lapan bulan lalu apabila Mohamad melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Menurutnya, selepas kejadian itu rakan anaknya yang hanya dikenali sebagai Kadir ada menelefon dan memberitahu perubahan sikap mangsa yang menjadi penakut beberapa hari sebelum itu.

‘‘Malah pada hari kejadian dia berpesan kepada rakan-rakannya supaya pulang awal kerana takut tinggal seorang di rumah sewa mereka,’’ ujarnya.

Zaharah yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah tidak akan membenarkan mereka melanjutkan pelajaran ke Mesir selepas ini kerana trauma dengan kejadian yang menimpa Mohamad.

Apabila ditanya sama ada dia sudi memaafkan suspek sekiranya keluarganya datang memohon maaf selepas ini, katanya, belum tentu dia boleh berbuat demikian dan melupakan penderitaan yang ditanggung anaknya sebelum menemui ajal.

Bapa mangsa, Ishak Abdul Rahman, 63, pula berkata, walaupun sedih anaknya meninggal dunia dalam keadaan yang menyeksakan akibat ditikam bertalu-talu, mereka sekeluarga tidak berdendam dengan suspek dan keluarganya.

‘‘Undang-undang ada, biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya sambil memberitahu bahawa wakil keluarga suspek ada menghubungi anaknya, Hasan, 28, bertanyakan mengenai kos perbelanjaan urusan pengkebumian Mohamad dua hari lepas.