Selasa, 27 November 2007

Pemberian Tidak Setara Antara Anak-anak

Oleh : Syed Abdul Kadir Aljoofre

Ketika berbual beberapa hari lepas bersama adik-adik, selepas ana membacakan kitab Adab Sulukil Murid dan Nailurraja' di surau Asrama Selangor, ana ditanyakan persoalan berkaitan pemberian seorang bapa kepada anaknya untuk belajar. Terkait juga pada permasalahan ini, seorang bapa yang melebihkan pemberian (hibah), kepada seorang anaknya daripada yang lain, jika dilihat anaknya itu lebih memerlukan terutamanya jika anak tersebut masih lagi belajar, dan tidak bekerja, berbanding anak-anaknya yang lain, atau anak tersebut dilihatnya lebih alim dan beradab daripada yang lain.

umhur Fuqaha' (majoriti ahli fiqh) menyatakan makruh pemberian tidak setara atau tidak seimbang daripada seorang bapa kepada anak-anaknya jika keperluan antara anak-anak tersebut adalah seimbang. Adapun jika terdapat seorang anak yang lebih memerlukan daripada yang lain maka tidaklah makruh. (Mughniyul Muhtaj; Al-Khatib Assyarbini). Contoh "lebih memerlukan" adalah, kerana sakit, ahli keluarga yang ramai atau menyibukkan diri dalam menuntut atau mengajarkan ilmu. Begitu juga tidak mengapa bagi seorang bapa untuk tidak memberikan langsung hartanya kepada seorang yang didapatinya fasiq atau derhaka kepadanya.

Di dalam kitab Majma'ul Anhar (Feqh Hanafi), ada menyebutkan :

"Jika sebahagian anaknya menyibukkan diri dengan ilmu (samaada menuntut ataupun mengajar) dan tidak bekerja, tidaklah mengapa dia melebihkannya daripada anak-anaknya yang lain. Dan di atas jawapan para mutaakhirin (ulama terkemudian), tidak mengapa jika diberi kepada sebahagian anaknya yang alim serta beradab dan tidak memberi anaknya yang fasiq serta berbuat dosa"

Imam Malik bin Anas sendiri pernah ditanya berkenaan seseorang yang ingin memberikan pemberian kepada sebahagian anaknya yang mentaatinya, dan tidak memberikannya kepada yang lain, maka dijawab oleh Imam Malik : "Tidak mengapa".

Inilah pendapat Jumhur Fuqaha' serta yang dipegang dalam Mazhab Syafie, dan beginilah juga fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta' Mesir (no. 6039). Jawapan yang disebutkan di atas adalah huraian semula secara ringkas daripada Fatwa tersebut. Wallahu A'lam.

copy from : http://www.pmram.org/

Tiada ulasan: