Selasa, 25 Mac 2008

Barisan Menteri Kerajaan Selangor


klik gambar untuk pembesaran imej

Tiada Timbalan MB Selangor

KLANG 24 Mac – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Selangor hari ini mengumumkan barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tanpa jawatan timbalan menteri besar.

Exco daripada PKR ialah Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Elizabeth Wong dan Dr. Xavier Jayakumar; daripada DAP ialah Teresa Kok, Ronnie Liu dan Ean Yong Hian Wah, manakala daripada Pas ialah Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali, Dr. Halimah Ali dan Iskandar Abdul Samad.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua portfolio berkenaan akan diteliti semula selepas enam bulan bagi menentukan keberkesanannya terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

“Selepas tempoh itu, kita akan menilai semula keberkesanannya dan jika perlu kita akan buat perubahan untuk meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran negeri,” katanya ketika mengumumkan senarai Exco di sini hari ini.

Terdahulu 10 anggota Exco terlibat menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.

Mengenai permintaan DAP untuk mewujudkan jawatan timbalan menteri besar, Abdul Khalid menjelaskan, setakat ini pihaknya tidak membincangkan perkara itu.

“Kita tidak ada jawatan timbalan menteri besar. Bagaimanapun kita akan membuat penilaian terhadap prestasi Exco untuk mengisi jawatan ini jika perlu pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, anggota Exco yang dilantik itu terdiri daripada mereka yang memiliki pengalaman dan kelulusan akademik sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Abdul Khalid, beliau akan memegang portfolio Pembangunan Tanah, Kewangan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Belia dan Sukan.

Teresa dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan manakala Hassan memegang portfolio Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Yaakob pula memegang portfolio Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber dan Pembangunan Usahawan), Rodziah (Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Teknologi dan Inovasi); Dr. Xavier (Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) dan Dr. Halimah (Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan).

Anggota Exco lain ialah Iskandar (Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan); Ronnie Liu (Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan), Elizabeth Wong (Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar) dan Hian Wah (Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram).

Tiada ulasan: