Sekilas menceritakan kehadiran Abang Nazrey Johani di bumi Iskandariah, Mesir. Di sini saya tidak ingin membicarakan tentatif program rombongan beliau ke sini, sebaliknya saya ingin menceritakan apa yang boleh menjadi tatapan kita bersama bagi mengisi jiwa kita yang terkadang lesu di medan perjuangan Islam.
Setiba sampai di Markaz Dewan Perwakilan Mahasiswi Iskandariah, rombongan Abang Nazrey, Ustaz Khairi Zainuddin dan yang lain dijamu santapan kuih pembuka pertemuan. Saya hanya duduk dicela rombongan sambil mendengar perbualan mereka. Inspirasi pertama yang dapat saya ambil dari perbualan Abang Nazrey, beliau menyatakan bagaimana tatkala kita keletihan dalam urusan seharian sekaligus keletihan itu melemahkan semangat untuk terus menyelesaikan aktiviti dakwah kita. Bayangkan kita berada di medan perang, membayangkan ketika peperangan Rasulullah bersama sahabat, bagaimana tatkala kita keletihan, luntur semangat dan keringat dan tatkala itu jugalah musuh terus menyerang. Adakah kita tega membiarkan semangat kita terus luntur? Maka semestinya kita harus terus menaikkan semangat, mengangkat senjata dan melupakan keletihan agar tenaga kita pulih seperti sedia kala untuk berhadapan dengan musuh dan mengalahnya.
Perumpaan yang diberikan Abang Nazrey cukup cantik, beliau yang sentiasa sibuk dengan aktiviti harian, dakwah semestinya keletihan dan semangat itu teruji. Mungkin inilah yang menjadi pembakar semangat untuk beliau terus cekal di medan yang beliau perjuangkan. Hanya dicelahan perbualan saja, saya dapat mengambil satu motivasi penguat jiwa pejuang daripada pendakwah seni Islam kelahiran di bawah bayu ini. Sememangnya abang Nazrey merupakan vokalis yang selama ini ingin saya hampiri. Banyak peluang yang ada untuk saya bertemu beliau sebelum ini, ketika beliau masih bersama Raihan. Abu Bakar (Raihan) merupakan sepupu bapa saya, jadi peluang itu adakalanya hadir tapi telah ditakdirkan pertemuan pertama kami di bumi Iskandariah, Mesir.
Majlis pelancaran Kamus Al-Miftah dimulakan, ucapan demi ucapan diperdengarkan. Giliran Abang Nazrey pula berucapkan sekaligus mempromosi dan melancarkan Kamus Al-Miftah. Semestinya ucapan ini dinantikan oleh hadirin dan diri ini. Menceritakan apa yang menjadi persoalan yang mungkin jawapannya sudah acapkali didengar atau ditatap, tapi biarlah jawapan itu diulangi secara LIVE dihadapan mahasiswa Al-Azhar. Kenapa saya keluar Raihan ? Tertanam di sanubari beliau untuk memperjuangan kalam kebenaran semenjak beliau memeluk Islam tatkala usia 12 tahun. Medan yang dipilih adalah seni suara Islam. Jika kita perhatikan dari awal album nyanyian Abang Nazrey ketika bersama The Zikr tahun 1993 yang kebanyakan lirik albumnya ditulis oleh beliau sendiri. Dapat kita lihat, liriknya tersurat dan tersirat kalam kebenaran. Sehinggalah beliau bersama Raihan dengan album pertama mencecah 700 ribu unit jualan, tidak termasuk berjuta-juta CETAK ROMPAK yang sehingga kini tiada album artis Malaysia bisa menandingi jualannya.
Abang Nazrey Johani merasakan perjuangan kalam kebenaran bersama Raihan perlu diakhiri. Perlu lebih masa turun padang bersama masyarakat Sabah. Menyumbang jiwa, raga dalam memberi kepahaman Islam hakiki di sana. Semua ini agak terbatas ketika beliau bersama Raihan yang dinaungi Warner Music (syarikat rakaman terbesar di Malaysia). Suara lunak-nya ingin secara LIVE diperdengarkan kepada mereka yang tidak mampu mendengarnya semasa beliau bersama Raihan. Dengan bayaran minimum RM 5000 dan kebiasaannya RM 20 000, pasti ramai yang tidak mampu mendengar suara lunak pendamai jiwa ini. Inilah antara sebab utama bisikan untuk keluar Raihan disahut-nya. Membangun Kompleks Raudhah di Sabah yang dijangka menelan belanja RM 150 juta menjadi impian utama beliau. Mewujudkan Perkampungan Tahfiz atau Maahad Tahfiz sebagai langkah pertama tatkala ini.
Di awal pengeluaran beliau dari Raihan menyebabkan saya tidak senang hati. Bagi saya Nazrey adalah Raihan dan Raihan adalah Nazrey. Siapa Raihan tanpa suara merdu lunak Abang Nazrey Johani? Tapi dengan semua alasan yang diberi-nya, tindakan beliau untuk keluar Raihan memang sangat realistik.
Ucapan Abang Nazrey diseliti nyanyian merdu keratan nasyid dari album beliau menjadikan ucapan ini padu didengar hadirin. Pengakhiran ucapan penyunting semangat anak rantau di bumi Anbiya’ dilontarkan kepada hadirin. Teruskan perjuangan dalam mengemis ilmu Allah di bumi barakah ini. Ingat janji pada ayah bonda. Pulang sebagai seorang pejuang, bukan untuk jawatan dan habuan. Bukan untuk bergaya dengan hand phone yang berlipat, bukan untuk laptop yang mantop dan kemewahan lain. Tapi pulanglah sebagai pejuang kalam kebenaran Islam. Jangan biarkan sedih dan rindu menjadi penghalang anak rantau di bumi Anbiya’ ini.
Nyanyian “Perantau” dari album terbaru beliau sebagai inspirasi mahasiswa Al-Azhar yang mendengar mengakhiri ucapan beliau…
“Perantau…Musafir perjuangan..tabahkanlah hatimu… Berjuang di rantau orang, sedih pilu hanya engkau yang tahu… Ingatkan anak dan isteri… Janganlah menghiris hatimu… Kerinduan desa nan permai… Janganlah melemahkan semangat juangmu… Di waktu ujian badai terus melanda, engkau tetap gigih berjuang… Membenarkan sabda Junjungan… Terus memburu, menuntut janji pastilah Islam gemilang lagi…. Tapi pejuang, kembara perjuangan… Ujian bukan batu penghalang, kerana itulah syarat dalam berjuang.. Oh pejuang, dimana pun ketenangan, di mana pun ada kebahgiaan… Bagi Insan yang menyerahkan.. Jiwa dan raga kepada Allah…”
Persinggahan sejenak di bumi Anbiya' ini abang Nazrey mampu memperolehi ijazah sanad bacaan al-Fatihah yang sanadnya bersambung terus kepada Rasulullah S.A.W dan Jibril A.S. Masa yang ada dimanfaatkan sebaiknya. Bertahun-tahun kita di sini, berapa banyak sanad pula yang sudah kita perolehi ? Abang Nazrey Johani sebagai seorang artis Islam dan lahirnya bukan dalam agama ISLAM sangat cekal dalam medan dakwahnya. Sepatutnya dan seharusnya kita yang lahir sebagai seorang Muslim, penuntut ilmu Allah di bumi Anbiya’ ini perlu lebih cekal, tabah dan semangat dari beliau. Semoga kunjungan sebentar Abang Nazrey di bumi Anbiya’ mendatangkan 1001 kebaikan buat diri ini dan anak rantau di sini. Allahu a’lam…
copy : abu akhfash
Tiada ulasan:
Catat Ulasan