Sabtu, 23 Jun 2007

Raudhah Hannaniy Dapat Adik

Bismillah ar-rahman ar-rahim...

Tanggal 22/06/07 merupakan hari kebahagian dalam rumah tanggaku dengan kehadiran seorang putera yang bakal menjadi pejuang Allah insya allah. Di lahirkan di Hospital Mubaraa Asafirah, Iskandariah, Mesir pada jam 9:15 pagi. Berat 3.2 kg dan panjang 5.2cm... lebih panjang dari kakak dia Raudhah Hannaniy...
Isteriku sudah mengadu sakit selepas solat Subuh tapi masih dapat menahan dalam tempoh yang lama. Kat sini bukan macam Malaysia, kalau sakit boleh masuk wad. Kat Mesir ni selagi jalan tak bukak 10cm.. mmg doktor suruh balik dulu. Jadi kami amik keputusan pergi dalam keadaan lewat memandangkan kami sudah pun pengalaman menghadapi anak yang pertama.

Lebih kurang jam 8.30pg isteriku sudah mula merasakan tidak selesa dalam jangka masa pendek, sempat jugak la telepon keluarga di Selangor dan Perak. Kami tunggu teksi untuk ke Hospital, tapi sayang, masa nak cari teksi masa tu lah takde bendanya. Nak dikatakan Allah permudahkan jalan, seorang pakcik arab bawa kami dengan kenderaannya ke hospital.
Sampai di hospital, atas pertolongan rakan Mohd Nor Azle, isteriku terus di bawa ke bilik persalinan dalam jam 9 pagi setelah diperiksa oleh doktor perempuan. Aku, adik ku dan teman rumah adik ku hanya menunggu di bilik patient tingkat 4 bilik 402, sambil membaca Al-Quran Surah Yasin dengan harapan Allah permudahkan segalanya. Bacaan Yasin kali ke-3, nurse panggil aku ke bilik persalinan, cuak jugak la bapak machow ni... ingatkan ada masalah.. rupanya dia nak bagi senarai ubat yang harus dibeli. Bila ditanya 'isteri saya dah selesai ke doktor' dia jawab alhamdulillah lelaki.. alhamdulillah isteri dan kandungan selamat dilahirkan pada jam 9:15pagi.
Kami pulang ke rumah pada jam 6 ptg atas urusan dan bantuan Bukhari dan Nawawi untuk keluarkan surat keluar dari hospital, surat keterangan kelahiran dan resit pembayaran. Alhamdulillah semua selesai dalam keadaan yang mudah dan berjalan lancar.
Kakaknya Raudhah sudah mula menunjukkan ketidak senangan hati pada awal kandungan.. sekarang ni dia cuba nak suruh orang ambil perhatian kepada dia.. hehehehhe.. biasalah, anak kecil.. pengalaman yang baru diriku sebagai seorang bapa dengan kehadiran anak ke-2 perlu ditempuhi..
Terima kasih kepada isteri yang tercinta kerana melahirkan seorang putera untuk menambahkan lagi kecerian rumah tangga, semoga ia akan menambahkan lagi keceriaan dan kebahagiaan serta rezeki daripada Allah. Untuk anak anak WALID (bapa), walid sayang semua anak anak walid, tiada kurang dan tiada lebih, cuma manja dan keprihatinan mungkin ada lebih dah kurangnya. Semoga anak anak aku menjadi anak yang soleh dan solehah serta cerdik, pintar, berilmu dan mengamalkannya dalam penghayatan. AMIN....

teladan untuk pembaca:
- anak adalah kurniaan daripada Allah yang amat tidak ternilai, kadang-kadang tanpa disedari kita sendiri sedang menumpang rezekinya.. mafhum hadis rasulullah ; ketika ditiupkan roh ke dalam jasad maka disertakan 4 perkara: 1) rezeki 2) ajal 3) jodoh 4) amalan baik dan buruknya. Maka dari itu, jangan kita terlalu marah anak ikut hawa nafsu, didiklah ia sebagaimana diajar oleh agama
- Title ibu bapa bukanlah satu perkara yang mudah untuk ditafsirkan. Hanya mereka yang sudah bergelar ibu dan bapa sahaja yang akan mengetahui perasaan ibu bapa ayah kita. Jika sudah berkahwin masih lagi melawan ibu bapa seperti mana bujang dahulu, tertanya mereka masih belum menghayati makna ibu dan bapa. Anda semua akan menyesal dengan apa yang anda lakukan terhadap ibu bapa semasa anda belum berkahwin. Ternyata ibu bapa mmg tiada tandingan.
- rezeki adalah milik Allah, jangan sesekali anda berniat untuk mengelak dari rezeki Allah lebih lebih lagi kurniaan seorang anak, jerit payah dalam mendidik anak sambil belajar mmg tidak dinafikan. Tapi jika difikirkan, sambil belajar kita menguruskan rumah tangga, maka rahmat Allah merupakan 2 dalam 1.. segala jalan kemudahan hanya Allah saja yang dapat membantu atas usaha dan jerit payah kita.

ucapan terima kasih ditujukan kepada semua rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan moral dan fizikal dari mula kandungan sehinggalah sekarang,
serta pertolongan dari awal sehingga pulang ke rumah, anda semua adalah keluargaku.
tidak lupa kepada mahasiswa/wi yang banyak memberikan pertolongan melalui pembelian barang niaga ku, khsusnya mahasiswa/wi di ISKANDARIAH dan umumnya di MESIR. Tanpa anda semua, aku takkan mampu dapat membayar segala kos perubatan di hospital.
yang paling penting buat adik adik ku yg sentiasa di sisi dalam keadaan senang mahu pun susah. Jerit payah kamu memang abg chik takkan lupakan, semoga Allah memberikan kejayaan yang cemerlang dalam apa apa ujian dan peperiksaan.
yang terutama sekali keluarga di malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kami di luar negara. Kepercayaan diberikan harap dapat memberikan semangat yang kuat kepada kami di sini...

Wassalam

Isnin, 18 Jun 2007

Keadaan Rumah Mangsa Pembunuhan (13/6/2007)Pelajar Al-Azhar Mansurah, Mesir (dicopy dari http://bloodyrains.blogspot.com)


HARAP MAKLUM, GAMBAR KEJADIAN DI RUMAH MANGSA TERPAKSA DIPADAM.. GAMBARAN SEBELUM INI HANYA UNTUK TATAPAN SEMENTARA.. HARAP MAAF

KUALA TERENGGANU 17 Jun – ‘‘Makcik tidak maafkan dia, apa yang dia buat pada anak makcik adalah zalim, terlalu kejam,” luah Zaharah Mohamad, 58, ibu pelajar Universiti Al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir terhadap tindakan pelajar yang menikam anaknya sehingga mati, Rabu lalu.Walaupun menyedari segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya, dia tidak dapat menahan sedih dan marah apabila anaknya, Mohamad Ishak, 22, diperlakukan seperti binatang.Katanya, dia dapat membayangkan bagaimana anaknya ditikam berulang kali tanpa belas kasihan sehingga pisau yang digunakan patah walaupun mangsa cuba melarikan diri sehingga ke dalam tandas untuk mengelak daripada terus diserang.

‘‘Zalim, memang kejam, tiada perikemanusiaan langsung. Dia buat anak saya macam kambing...macam binatang, walaupun Mohamad lari ke dalam tandas, dia tikam lagi, lari ke pintu hingga kain pelekat terlondeh, dia tikam lagi.

‘‘Sekali dia tikam tak mengapa, tapi 10 kali dia tikam. Makcik boleh nampak macam mana dia menikam anak makcik yang sudah telanjang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Rajawali, Chendering di sini selepas upacara pengkebumian Mohamad, pagi ini.

Jenazah pelajar kursus Usuluddin itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dari Mesir kira-kira pukul 9.10 malam tadi dan dibawa pulang ke rumahnya dengan van jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan tiba kira-kira pukul 7.15 pagi ini.

Jenazah kemudian disembahyangkan di rumahnya dengan diimamkan oleh guru sekolah pondok, Abdul Rahman Ahmad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Laut, Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 pagi ini.

Lebih 100 orang menghadiri upacara pengkebumian tersebut termasuk Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh dan Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di Kaherah, Dr. Mohd. Fakhrudin Abdul Mukti serta wakil Yayasan Terengganu.

Mohamad anak kesembilan daripada 12 beradik dikebumikan di sebelah kubur kakak dan adiknya, Zuraida dan Zuarida selepas bacaan talkin yang dipimpin oleh imam Masjid Kampung Laut, Mohd. Rosdi Abdul Rahman.

Walaupun tidak dapat menahan kesedihan, Zaharah berpuas hati kerana dapat menatap wajah Mohamad buat kali terakhir selepas berpisah kira-kira lapan bulan lalu apabila Mohamad melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Menurutnya, selepas kejadian itu rakan anaknya yang hanya dikenali sebagai Kadir ada menelefon dan memberitahu perubahan sikap mangsa yang menjadi penakut beberapa hari sebelum itu.

‘‘Malah pada hari kejadian dia berpesan kepada rakan-rakannya supaya pulang awal kerana takut tinggal seorang di rumah sewa mereka,’’ ujarnya.

Zaharah yang mempunyai dua anak yang masih bersekolah tidak akan membenarkan mereka melanjutkan pelajaran ke Mesir selepas ini kerana trauma dengan kejadian yang menimpa Mohamad.

Apabila ditanya sama ada dia sudi memaafkan suspek sekiranya keluarganya datang memohon maaf selepas ini, katanya, belum tentu dia boleh berbuat demikian dan melupakan penderitaan yang ditanggung anaknya sebelum menemui ajal.

Bapa mangsa, Ishak Abdul Rahman, 63, pula berkata, walaupun sedih anaknya meninggal dunia dalam keadaan yang menyeksakan akibat ditikam bertalu-talu, mereka sekeluarga tidak berdendam dengan suspek dan keluarganya.

‘‘Undang-undang ada, biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya sambil memberitahu bahawa wakil keluarga suspek ada menghubungi anaknya, Hasan, 28, bertanyakan mengenai kos perbelanjaan urusan pengkebumian Mohamad dua hari lepas.

Jumaat, 15 Jun 2007

Pelajar Malaysia di al-Azhar maut ditikam

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia di Universiti al-Azhar cawangan Mansurah, Mesir, mati selepas ditikam lebih 10 kali oleh rakan senegara, yang dipercayai mengalami tekanan mental, dalam kejadian di rumah sewa mangsa, malam kelmarin.

Mohammad Ishak, 22, dari Kampung Pangkalan Raja Wali, Chendering, Terengganu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Antarabangsa As-Sallam, Kaherah kerana kecederaan parah di kepala akibat dipukul dan ditikam bertubi-tubi pada leher pada kejadian jam 8.30 malam (1.30 pagi waktu Malaysia).

Suspek, juga pelajar universiti itu berusia 22 tahun dan berasal dari Dengkil, Selangor, kini ditahan polis Mesir bagi membantu siasatan kes berkenaan.


Abang mangsa, Hussin, 28, yang ditemui Berita Harian di Chendering bagaimanapun berkata, Mohammad mungkin menjadi mangsa keadaan kerana suspek sebelum itu dikatakan mencari dua rakan serumah adiknya.

Beliau yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Yang Dipertua Dewan Perwakilan Pelajar Mansurah, Ali Zulfakar, berkata suspek mengunjungi rumah sewa adiknya kira-kira jam 7 malam tetapi dua rakan serumah Mohammad tiada.

“Ketika itu Mohammad keseorangan dan sedang menggunakan komputer. Selepas gagal menemui rakan serumah Mohammad, suspek dikatakan meluru ke dapur dan mengambil pisau,” katanya yang turut menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah bagi mengesahkan kejadian itu, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mangsa adalah pelajar tahun pertama jurusan Usuluddin manakala suspek menuntut di tahun tiga jurusan Pengajian Islam.

Hussin yang juga bekas pelajar universiti itu dan kembali ke tanah air pada 2005, turut mengenali suspek ketika di sana dan menyifatkannya sebagai seorang yang pendiam.

Katanya, berdasarkan maklumat rakannya di sana, suspek dipercayai mengalami tekanan akibat peperiksaan dan pernah berselisih pendapat dengan rakan serumah adiknya.

Beliau berkata, Mohammad tidak mendapat tajaan mana-mana pihak dan keluarganya menghantar RM200 sebulan untuk perbelanjaan. Keluarganya reda Mohammad dikebumikan di Kaherah kerana mereka tidak mampu membawa jenazah pulang.

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kerajaan negeri sedia membiayai kos membawa pulang jenazah yang akan diuruskan Yayasan Terengganu.

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Mansurah ketika dihubungi berkata, mangsa dan suspek saling mengenali, malah sering berkunjung ke rumah sewa Mohammad.

Pelajar itu berkata, suspek dikatakan membawa tiga pisau, termasuk satu pisau pemotong daging yang baru dibeli.

Jurucakap Bahagian Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Kaherah ketika dihubungi pula berkata, suspek ditahan bersama tiga pisau berlumuran darah, dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir, tidak dapat dihubungi kerana dikatakan ke tempat kejadian, kira-kira dua jam perjalanan dari Kaherah.

dipetik dari akhbar malaysia : http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Mukadepan/20070614233112/Article/

pembetulan : mangsa merupakan pelajar tahun 3 usuluddin..