Sabtu, 26 Julai 2008

MADIWA dan Hilangnya Sebutir Permata

Alhamdulillah dipertemukan sekali lagi bagi memeriahkan ruang usang ini. Kali ini saya ingin cuba berkongsi bersama pembaca sebuah isu yang mungkin tidak begitu panas di dalam negara. Tetapi cukup begitu bernilai bagi mereka yang begitu cintakan ilmu dan ulamak.. tidak lupa juga bagi mereka yang sentiasa berjuang demi agama islam yang tercinta. Artikel kali ini bukanlah ingin menegakkan benang yang basah atau mencemarkan imej individu mahupun meruntuhkan mana mana IPT yang lain, tetapi sebagai sebahagian daripada keluarga MADIWA dan Pengarah MADIWA pula merupakan pakcik kepada isteri saya, wajar saya menjernihkan apa yang telah keruh selama ini. Selama ini, beliau hanya membiarkan manusia kejam melakukan kejahatan kepadanya, tetapi apa yang terukir dimulutnya hanyalah "biarkan". Institut Pengajian Tinggi Islam Dan Bahasa Arab atau lebih dikenali sebagai MADIWA sudah begitu agung dipersada IPT swasta tanah air bahkan tersemai dibibir pelajar-pelajar Indonesia dan juga Thailand bahkan Syeikhul di Azhar yang berada di negara Mesir.

Al-Marhum Al-Fadhil Us Mansor Bin Maamor telah pun pergi meninggalkan anak-anak didiknya. Begitu kentalnya hati beliau dalam membangunkan MADIWA dengan niat untuk masyarakat bagi mendidik anak bangsa. Seingat saya penubuhan MADIWA adalah untuk membantu golongan-golongan yang kurang kewangan dan lemah di dalam Bahasa Arab. Justeru itu, diadakan MOU melalui Al-Azhar ke tahun 1 / 3 dan 4 ( pada masa itu ). Tidak sangka, selepas pembatalan MOU semua IPT di Malaysia dengan Al-Azhar, Allah swt memanggil beliau sebagai tanda sudah cukup untuk berjuang pada seketika ini. Siapakah penggantinya selepas ini?

Beliau sudah pergi meninggalkan dunia fana ini.. saya ingin bertanya kepada peruntuh-peruntuh MADIWA..
-yang mencuri duit beliau di dalam rumahnya
-yang mencuri duit di dalam tabung setiap tempat bg mengumpulkan dana pembangunan MADIWA
-yang membawa lari pelajar ke IPTs yang lain
-yang membuat akaun sendiri sampai dapat membuka IPTs yang lain hatta merundumkan MADIWA sehingga kini

Kepada mereka yang berkenaan, saya ingin bertanya, sudah puaskah anda semua? Berbaloikah dengan apa yang anda semua lakukan? Berkatkah apa yang bangunkan walau ia gedung ilmu? Apa yang anda lakukan membabitkan keluarga yang lain ditimpa fitnah. Sehingga dikatakan keluarga beliau mendapat duit yang melimpah melalui yuran pelajar. Kepada pencemuh mulut tidak berlesen, sila datang ke rumah keluarga us Mansor bagi melihat sendiri keadaan keluarga beliau. Cukup lihat kepada rumah, relevan ke mereka mencuri duit MADIWA. Gajah di depan mata tidak dilihat, semut yang jauh kelihatan pula.

Sudah menjadi kebiasaan, dalam perjuangan yang suci pasti ada musuh. Begitulah hakikat dan fitrah perjuangan dalam agama islam, sejak dari penyeberan dakwah islam pada zaman Nabi Muhammad begitu hebat tentangan daripada orang kafir. Sehingga turun kepada sahabat, tentangan daripada kaum munafiq dan kafir semakin menjadi-jadi. Bayangkan antara 4 khalifah yang teragung... 3 daripadanya mati dibunuh oleh orang islam sendiri. Begitu juga perjuangan yang dipraktikkan oleh Al-Marhum, pernah saya mendengar dari isteri saya sendiri, ungkapan Us Mansor untuk melihat tiang banggunan MADIWA sebelum dia meninggal. Ternyata dia tidak dapat melihat apa yang dia inginkan. Akibat dari musuh-musuh dan penghancur MADIWA.

Tidak malukah wahai pemuda pemuda, anda semua telah menganiaya seorang tua yang lemah bahkan beliau merupakan seorang yang 'Alim dan zuhud. Anda telah menghalang perjuangan yang beliau perjuangkan selama ini. Sehingga nama beliau dicemari dengan imej-imej yang tidak sepatutnya. Saya fikir MADIWA ni tidak top, tapi seringkali juga dikeluarkan di bibit para pekerja jabatan agama islam negeri. Pernah saya mendengar dari mulut seorang kakitangan sebuah jabatan agama islam negeri ......... ??? " KITA INGIN MELETAKKAN PUSAT TAHFIZ INI DI BAWAH KERAJAAN NEGERI BAGI MEMBUKA MINDA PELAJAR, KITA TIDAK MAHU PELAJAR TAHFIZ INI JADI JUMUD SEPERTI PELAJAR MADIWA DI PERAK " hahahahahaha, tergelak bila saya mendegar kata beliau.. tidak ku sangka, betapa ramainya musuh MADIWA sehingga di luar negeri Perak pun ada.

Dulu, saya pergi kenduri kahwin kawan saya (Md Nazri Yaakob dengan Norhayati Zakaria ) di Selangor. Saya terjumpa rakan lama di MADIWA, maka perbualan kami menyingkap tentang MADIWA. Dia banyak bertanya tentang pekerja-pekerja MADIWA dan tenaga pengajar di sana. Tapi apa yang menyedihkan ialah ungkapan dia " BUAT APALAH DIORANG NAK KERJA KAT MADIWA LAGI, DIORANG TAK TAU KE MADIWA TU DAH NAK MAMPOS!!!" Terkejut saya.. sekarang ini dia menjadi pensyarah di KUIS.. KACANG LUPAKAN KULIT tidak terfikirkah dia kalau tidak kerana MADIWA, bolehhkah dia sampai ke Mesir.. lupakah dia kesemua adik beradik dia menuntut di MADIWA. Dia seperti lalang, makin tinggi makin bersemak. Mentang-mentang banyak ilmu, memang tidak dinafikan setiap keputusan peperiksaan, natijahnya adalah MUMTAZ, bekas Exco MPP MADIWA.. tapi kerana sikap angkuh dan takabbur.. boleh terluah ungkapan yang tidak sepatutnya.

Terlalu banyak saya ingin putarkan pengorbanan Al-Marhum, dan lebih banyak pula ingin saya ungkapkan cemuhan dari rakan-rakan seMADIWA dahulu. Mereka tidak tahu dari mana punca berita tapi mudah untuk disebarkan. Saya harap artikel ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada orang selalu berfikiran negatif terhadap beliau dan MADIWA.

Hati ini begitu terkilan bila tidak dapat bertemu dia beliau ketia dia sampai ke bumi mesir ini beberapa bulan yang lalu. Yang sempat hanyalah bekalan makanan dari Malaysia yang diberikan dari ibu mertua saya di Bagan Serai. Bila tengok ikan masin yang isteri saya masak, tersentuh hati ini bila teringatkan Us Mansor.. mana tidaknya, dia yang membawa tapi kami tidak sempat menziarahnya. Tetapi terubat sedikit bila saya dapat khabar dari kakak biras mengatakan lebih kurang 600 manusia berada di tanah perkuburan ketika jenazah beliau dikebumikan.

MADIWA sudah menjadi sebahagian dari keluargaku. Pemergian beliau telah menimbulkan rasa tanggungjawab menyambung semula perjuangan beliau. Tapi,
saya mempunyai satu agenda menarik dalam menjernihkan fahaman masyarakat terhadap pemahaman islam. Mampukah saya melakukan 2 tugas yang berat dalam satu masa? Bahkan, saya ada ibu bapa yang lebih penting untuk dijaga. Andaikata ibu bapa saya memberikan keizinan untuk berjuang di sana.. Andaikata Agenda saya dibantu oleh mereka yang sudi membantu saya, insya allah, saya akan sambung perjuangan beliau. Untuk Al Marhum Ustaz Mansor Bin Maamor.. kami doakan agar rohmu dicucuri rahmat. dan berada dikalangan mujahid fisabillah.. al-fatihah.

Berikut saya letakkan sedikit peribadi Al-Marhum ketika kehidupannya :

Ustaz Haji Mansor bin Haji Maamor dilahirkan di Kampung Parit Gabis, Bagan Serai pada pagi Rabu 20 November 1942 dalam satu keluarga yang sederhana. Beliau merupakan anak kelapan daripada sembilan orang adik-beradik.Bapa beliau Haji Maamor bin Haji Yaakub adalah seorang pesawah sementara ibunya Hajjah Salasiah binti Haji Hanafi merupakan seorang suri rumah tangga.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sek.Ren. Keb. Telok Medan, Bagan Serai sebelum meneruskan pengajian di Madrasah Al-Akhlak Al Islamiah, Masjid Tinggi sehingga beliau memperolehi Syahadah 4 Thanawi pada tahun 1963. Kemudian beliau berhijrah ke SMAR Irshad, Padang Menora, Tasek Gelugur, Pulau Pinang Malaysia untuk mengambil sijil LCE & FMC di sana. Setelah memperolehi keputusan yang cemerlang beliau diterima menyambung pengajian di Kolej Islam Malaya, Kelang selama 3 tahun dari tahun 1964 hingga 1967 dibawah pengelolaan pengarah IKM pada ketika itu, Dr. Jalil bin Hassan. Pada tahun berikutnya, beliau berhijrah pula ke Kelantan untuk mengikuti pengajian di bidang Syariah dan Undang-undang di Yayasan Tinggi Islam Nilam Puri Kelantan sehingga tahun 1970. Seterusnya pada tahun 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang yang sama sehingga beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dan Undang-undang pada tahun 1976.

Ketika cuti musim panas Universiti Al-Azhar pada tahun 1974, Tuan Haji Mansor berkesempatan pergi ke India untuk pengajian Ilmu Hadith di Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum, Duban/I, Uttar Pradesh, India sehingga dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kehormat dalam bidang berkenaan pada tahun yang sama.

Setelah bertungkus-lumus mengabdikan diri dengan ilmu pengetahuan, beliau akhirnya pulang ke tanahair pada tahun 1976 dengan membawa harapan agar dapat menabur bakti menjadi inspirasi pada masyarakat serta idelis kepada mereka.

Sekembalinya dari luar negara, beliau memulakan khidmatnya sebagai seorang kadi di Pejabat Agama Daerah Lumut dari tahun 1976 sehingga 1978 sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Jabatan Agama Islam Perak untuk jawatan yang sama. Seterusnya beliau dilantik menjadi Setiausaha Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak. Pada ketika itu jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perak disandang oleh Sohibul Samahah Dato' Haji Ghazali bin Abdullah. Pada tahun 1979 beliau bertukar ke Pejabat Agama Daerah Slim River dan kemudiannya Pejabat Agama Daerah Batu Gajah.

Setelah tamat perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1984, beliau memilih untuk kembali ke kampung halamannya di Bagan Serai dan berkhidmat di sana. Beliau menjadi guru agama di SMAR Al-Falah, Parit Gabis, Bagan Serai selama 5 tahun. Ketika baru setahun memulakan tugasnya di situ, beliau dilantik menjadi mudir sekolah berkenaan. Pada tahun 1990, beliau berhijrah ke SMAR Al-Akhlak, Masjid Tinggi dan berkhidmat sebagai guru agama sebelum dilantik menjadi Pengerusi SMAR Al-Akhlak hingga tahun 1993. Kemudian beliau berhijrah pula ke SMAR Al-Tahzib, Titi Serong, Parit Buntar dan dilantik menjadi Penolong Kanan 1 di sana.

Di situlah tercetusya idea untuk menubuhkan satu institut pengajian tinggi dalam bidang agama setelah melihat perkembangan pelajar-pelajar yang berkemampuan di bidang pengajian tetapi tidak di segi material. Dengan usaha gigih beliau mendapatkan pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Akhirnya hasrat untuk menubuhkan pusat pengajian tersebut termakbul. Pada tahun 1997 tertubuhlah Pusat Pengajian Tinggi Islam Dan Bahasa Arab (MADIWA) yang beroperasi di Bagan Serai, Perak. Seluruh ahli jawatankuasa MADIWA dengan sebulat suara melantik beliau menjadi pengarah di sini.


Kejayaan-kejayaan yang telah diraih.

1. Pembukaan kelas Qismul Arabi dan Pra Diploma MADIWA
Kelas Pra Diploma MADIWA diwujudkan bagi memberi persediaan kepada pelajar-pelajar yang ingin mengikuti pengajian di peringkat Diploma tetapi tidak mempunyai kelayakan. Sementara kelas Qismul Arabi adalah untuk pelajar yang ingin mempelajari Bahasa Arab.

2. Menghidupkan semula pengajian ala pondok
Pengajian ini dikenali sebagai Qismul Halaqat. Pelajar-pelajar didedahkan dengan pengajian berasaskan kepada kitab turoth atau kitab kuning.

3. Pelancaran Ma’had Qiraat Al Furqan MADIWA
Sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat terhadap pengajian Tahfiz Al Quran telah membawa kepada diwujudkan satu kawasan khas untuk pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian ini. Kalau sebelum ini pelajar-pelajar tersebut ditempatkan di asrama yang sama dengan pelajar-pelajar Qismul Arabi dan Pra Diploma, tetapi kini pelajar-pelajar tersebut mempunyai asramanya sendiri di Parit Gabis, Bagan Serai, Perak.

4. Pembukaan cawangan MADIWA di Selatan Thailand
Majlis Perjumpaan Khas bersama Persatuan Ulama’ di Selatan Thailand yang telah dihadiri telah membawa satu perkembangan yang baik kepada MADIWA. Hasilnya MADIWA berjaya mengembangkan sayapnya ke luar negara apabila sebuah cawangan MADIWA dibuka bertempat di Pusat Pengajian Tinggi Al-Tazkiah Al-Diniah Selatan Thailand Daerah Ya’la. Dengan pembukaan cawangan tersebut, negeri Perak menjadi negeri pertama membuka Pengajian Tinggi Islam bertaraf Universiti di Selatan Thailand. Persatuan Ulama’ di sana sangat menghargai di atas pengiktirafan yang telah dibuat yang sebelum ini belum diperolehi oleh mana-mana negeri di Asia.

Sumbangan

1. Semasa masih menuntut
Semasa Tuan Haji Mansor mengikuti Pengajian Ilmu Hadis di Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum, Duban, Uttar Pradesh, India, beliau telah dilantik oleh pihak Institut sebagai wakil khas menyambut delegasi dari Universiti Al Azhar Mesir yang diketuai oleh Syeikh Al Azhar, Al Marhum Profesor Doktor Syeikh Abdul Halim Mahmud. Kefasihan dan kepetahan beliau dalam berbahasa Arab ammi banyak membantu usaha beliau sebagai orang perantaraan antara Pusat Pengajian Tinggi Darul Ulum dengan Universiti Al Azhar dalam usaha mendapatkan pengiktirafan sijil. Alhamdulillah, dengan anugerah dan kurnia Allah Ta’ala, Ijazah Sarjana Muda Darul Ulum, Duban mendapat pengiktirafan Universiti Al Azhar. Pemegang ijazah tersebut layak menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Al Azhar, Mesir. Tuan Haji Mansor juga telah mendapat penghormatan daripada Syeikh Al Azhar, Al Marhum Profesor Doktor Syeikh Abdul Halim Mahmud, menjadi juru bahasa beliau sepanjang lawatan 3 hari delegasi di negara India. Atas sumbangan yang telah diberikan, Tuan Haji Mansor telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kehormat dari Universiti Darul Ulum Duban dalam bidang Hadis (Sunan Sittah).

2. Semasa berkhidmat dengan kerajaan

• Pada tahun 1976 semasa menjadi Kadi di Pejabat Agama Daerah Lumut, beliau telah mencetuskan idea penubuhan Unit Tadika Islam Negeri Perak secara swasta. Penubuhan ini telah mendapat persetujuan dan galakan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Perak yang membawa kepada penubuhan Unit Tadika Islam Jabatan Agama Islam Perak di beberapa buah daerah antaranya, Daerah Lumut, Daerah Bagan Serai, Daerah Slim River dan Bandaraya Ipoh.

Selain daripada itu beliau juga melahirkan idea bagi mendekatkan golongan remaja dengan agama melalui pembukaan kelas-kelas Fardu Ain yang lebih dikenali sekarang ini dengan nama Kemahiran Asas Fardu Ain (KAFA) dan kelas Muamalat / Munakahat khas bagi suri-suri rumah tangga.

• Ketika menjawat jawatan Kadi Daerah Lumut pada tahun 1977, beliau telah mengharamkan seni mempertahankan diri Nasrul Haq. Pengharaman ini dibawa ke peringkat kebangsaan dan telah mendapat sokongan daripada Jabatan Agama Islam serta Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak yang diterajui oleh Mufti Kerajaan ketika itu, Almarhum Tuan Haji Ghazali bin Abdullah.

Beliau juga telah banyak menjalankan usaha membantu saudara-saudara baru semasa menjadi Pengerusi PERKIM Daerah Lumut merangkap ahli Jawatan kuasa PERKIM peringkat Negeri.



3. Semasa menerajui MADIWA

• Berjaya mendapatkan pengiktirafan Sijil 4 Thanawi Al Tahzib menyambung ke tahun 1 peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al Azhar, Mesir.

• Berjaya mendapatkan pengiktirafan Sijil Diploma MADIWA menyambung ke tahun akhir peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Al Azhar Mesir Fakulti Syariah & Undang-undang dan Fakulti Usuluddin

Kumpulan pertama yang dihantar pada sesi 98/99 telah menunjukkan prestasi yang cemerlang iaitu 13 orang daripada 15 orang yang dihantar telah berjaya menamatkan pengajian pada sesi tersebut dengan peratus kelulusan 86.7%. Enam orang daripadanya mencapai darjah kepujian (Hons.)

Kumpulan kedua yang dihantar pada sesi 99/2000 mencapai darjah kelulusan 81.8% iaitu 27 orang pelajar daripada 33 orang yang dihantar telah lulus pada sesi tersebut.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hari ini, sy mengimbas kembali kenangan semasa belajar di madiwa dulu dan merupakan kenangan yang amat manis...walaupun sy hanya sebutir pasir dari bintang2 pasir madiwa, sedikit sebanyak sy terdengar desas desus pergolakan madiwa pada masa itu...lama cerita ini terpendam..al-fatihah buat al marhum ustaz mansoor...

Unknown berkata...

Ya jasamu dikenang sy berada disitu disaat perasmian madiwa..sy melihat syeikul mesir yg dtg..masih tergiang nama sy di panggil oleh ust mansur ketika sy belajar ditahzib..smg Allah merahmati jasa baik beliau..ayah sy sgt bangga dgn beliau ayah sy yg mnghantar sy belajar disana...terima kasih usta Terima kasih atas segalanya..insaflah bg sesiapa yg berniat jahat padanya suatu ketika dahulu..

Unknown berkata...

Assalamu'alaikum tuan, boleh saya tahu maklumat penuh pengarang ni?

Unknown berkata...

Madiwa hebat