Rabu, 23 Julai 2008

Jahil, tidak selamanya .. Semangat berpasukan contoh perjuangan


Alhamdulillah, dapat juga tangan ini meneruskan kerja amal menerusi blog yang kurang ilmunya berbanding dengan blog-blog yang lain. Hari ini, saya akan menceritakan pengalaman yang berlaku pada 19-20 Julai 2008. Ia merupakan satu kenangan yang berkait rapat dengan kehidupan dan selaku pejuang agama..

Kena marah, kena maki, kena hamun.. sudah menjadi lali bila saya bermain bola pada masa kecil kecil dulu. Kalau dah minat acara balapan jangan cuba-cuba nak main bola. Sejak dari itu kaki ini malas nak menyentuh bola. Kalau orang main bola pun, tengok tengok sajalah dari jauh. tapi segala-galanya berubah pada 20 Julai..

17 Julai pertama kali kawan-kawan saya melantik menjadi penjaga gawang gol pasukan UMI FC untuk bertanding ke perlawanan futsal yg akan berlangsung di Damanhur pada 19 dan 20 Julai.. Rasa dalam hati dan diri seperti tidak layak dan tidak mampu menjaga gawang dengan sempurna. Bayangkan kalau bolos, muka kita orang tengok dulu.. kalau boleh masuk poket, takpelah... tapi, paksaaan demi paksaan, lawak demi lawak, keyakinan demi keyakinan diberikan.. saya terima sebagai penjaga gawang pasukan.. cuba bayangkan.. dah la pertama kali main dalam tournament .. jadi penjaga gawang lak tu.. memang cari pasal..


Hari pertama perlawanan pasukan kami agak bermula dengan lemah dengan keputusan seri 1-1, tewas 0-1 tetapi berjaya menerima rentak dengan kemenangan 2-1 dan 1-0 .. sekaligus memberi peluang pasukan kami ke separuh akhir.. tapi segala-galanya bergantung kepada esok yang berbaki 2 perlawanan lagi.


Walaubagaimanapun, sering saya ingatkan kepada kawan-kawan.. jangan lupa kepada Allah.. kita tewas kepada pasukan yang mudah dan menang kepada pasukan yang kuat.. semua ada hikmah disebaliknya.. mungkin ia menandakan ia satu ujian berat pada hari esok. Ternyata apa yang bermain dikepala saya benar.. seorang pemain kami mengalamai kecederaan lutut dan tidak dapat bermain pada hari keesokannya..(pemain no.8 Zul Fauzi). Kami mengalami permainan yang sukar selaku pemain tengah dan perancang yang tidak dapat bermain. Sehingga kami tewas 0-1 dengan pasukan yang mudah..

Tetapi, semangat dan keyakinan tinggi pasukan.. kami datang dari jauh, takkan nak balik tangan kosong.. permainan dengan sebuah pasukan yang sememangnya layak menjadikan kami gerun untuk bermain. Ternyata pasukan lawan tidak mahu kami menang mudah.. asakan demi asakan dilakukan, tapi rezeki kami hanya mampu seri 0-0.. Kiraan mata dalam kumpulan mula menggerunkan kami, ternyata alhamdulillah.. Allah beri rezeki kami main lagi setelah menduduki tempat ke 4 dalam kumpulan. Pertemuan diseparuh akhir adalah pertemuan kali ke 2 dengan pasukan gergasi yang kami temui tadi.. kali ini, pasukan kami banyak buat silap.. sehingga gawang saya dibolos 2 biji dan kami tewas 0-2 ... arghhhhh.. rasa tidak puas hati pun ada, mana tidaknya.. kita boleh seri 0-0 tapi tewas pertemuan kali ke-2 dengan 0-2... tapi tidak mengapalah.. semua ada hikmahnya.. mungkin masin nya mulut ini kerana ingin bertemu dengan pasukan yang kami ditewaskan 0-1 pada peringkat kumpulan.. ternyata kami bertemu di penentuan tempat 3 dan 4..




Penentuan tempat ke 3 dan 4 hanya diakhiri dengan sepakan penalti 3 biji kepada setiap pasukan.. ini bermakna segala nasib bergantung kepada 3 penyepak dan saya selaku penjaga gawang.. sepakan pertama diambil oleh mumtaz ..dan kedua mohsen.. alhamdulillah, 2 gol berjaya disumbat.. bagaimana pula dengan cerita penjaga gawang... huh.. debaran tak perlu nak diceritakan.. bacaan basmalah mula disebut dan disapu pada gawang.. mata tertumpu pada bola, dalam hati ke kiri atau kanan.. kawan-kawan dibelakang bagi sokongan tapi telinga tak dengar apa yang tiba.. kiri kanan kiri kanan..





sepakan pertama lawan

sepakan ke-2 lawan

alhamdulillah, 2 sepakan saya dapat halang dari memasuki gawang.. ternyata kemenangan milik kami.. inilah lakaran sejarah baru UMI dalam perlawanan bola.. sebelum ini merka sering diperlekehkan dengan ayat TIDAK MAMPU.. MUDAH.. KACANG JEEEE.. hari ini.. mata mereka silap.. pasukan UMI sudah bangkit.. tapi ingatlah kawan-kawan.. jika kita lalai dan takbur, peluang ke 2 bukan milik kita..

Penyampaian hadiah bermula.. alangkah sebak hati ini bila dinobatkan pasukan ke 3 terbaik. Tampak wajah manis dan ceria setiap rakan-rakan.. saya puas hati dapat mengembirakan mereka. Lagi-lagi tanpa diduga, saya dianugerah pemain terbaik pada kejohanan.. rasa diri tidak percaya.. buta ke mata penganjur sedangkan yang lain lebih hebat.. kalau diimbas kembali pada mula-mula masuk ke padang.. saya anggap diri sayalah orang yang paling jahil bermain permainan ini..




Kesimpulan yang saya perolehi dalam pengalaman ini, selemah mana pun pasukan pejuang kita, jika dititik beratkan semangat pasukan, kita boleh berjaya.. tidak kira sekental mana.. tetapi bila datang takbur dan over confident dalam pasukan, datanglah pasukan selemah mana, pasti kita akan tewas.. Segala-galanya adalah pasukan.. semua ada tugas masing-masing demi kemenangan.. jika setiap posisi lemah dan gagal menjaga kawasan.. kawasan itu akan bocor.. begitulah hakikatnya dalam perjuangan islam..

Terima kasih kawan-kawan beri kepercayaan kepada saya untuk menjaga gawang.. maaf bolos banyak.. tapi terus terang.. salah satu goal.. digoalkan oleh pemain sendiri.. sapa lagi kalau bukan pengurus pasukan.. jangan marah ye abey.. hahahahahah
pengurus pasukan UMI FC 2008

Pemain terbaik ini bukan milikku, tetapi milik semua.. kita adalah pasukan terbaik, tanpa pertahanan nescaya gawang mudah dibolosi.. tanpa penyerang pasti tiada jaringan, tanpa pemain tengah pasti tiada perancangan.. terima kasih kawan-kawan.. kamu semua bagi sokongan pada diri yang lemah ini.. Hari ini, saya sudah buktikan kepada kawan-kawan semasa kecil yang sering menghina saya... JAHIL BUKAN SELAMANYA..

Dari kiri (atas) : Ustaz Sanusi ( pertahanan ) , Ustaz Syamsul Azrin (pertahanan) , Faizal ( keeper) , Ustaz Saiful ( Penyerang ), Ustaz Mumtaz ( pertahanan)
Dari kiri (bawah) : Ustaz Zul Azizi (penyerang-import), Ustaz Mohsen ( Penyerang ), Ustaz Firdaus (Penyerang), Ustaz Alif ( Pertahanan)
Tiada dalam gambar : Ustaz Zul Fauzi ( Pemain Tengah )

Khamis, 10 Julai 2008

Kisah Dialog Nabi dengan Iblis

Telah diceritakan, bahawa Allah SWT telah menyuruh syaitan datang kepada Nabi Muhammad SAW supaya menjawab segala sesuatu yang baginda tanyakan kepadanya.

Pada suatu hari, syaitan datang kepada baginda dengan menyerupai seorang tua yang baik lagi bersih, sedang ditangannya memegang tongkat. Bertanya Rasulullah SAW:
"Siapakah engkau ini?"
Orang tua itu menjawab:
"Aku adalah iblis."
Rasulullah SAW bertanya:
"Apa maksudmu datang kemari?"
Orang tua itu menjawab:
"Sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepadaku supaya datang kepadamu dan menjawab segala apa yang engkau tanyakan kepadaku."
Nabi SAW lalu bertanya:
"Hai Iblis, berapa banyakkah musuhmu dari umatku?"

Iblis menjawab:
"Lima belas:

1. Engkau sendiri hai Muhammad.
2. Imam/pemimpin yang adil.
3. Orang kaya yang tawaduk (merendah diri).
4. Pedagang yang jujur.
5. Orang alim yang mengerjakan solat dengan khusyuk.
6. Orang mukmin yang memberi nasihat.
7. Orang yang mukmin yang berkasih sayang.
8. Orang yang tetap/cepat-cepat bertaubat.
9. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang haram.
10. Orang mukmin yang selalu dalam keadaan suci.
11. Orang mukmin yang banyak bersedekah/dermawan.
12. Orang mukmin yang baik budi pekertinya.
13. Orang mukmin yang bermanfaat kepada orang lain.
14. Orang yang menghafal Al-Quran serta selalu membacanya.
15. Orang yang berdiri mengerjakan solat di waktu malam sedang orang lain tidur."

Kemudian, Rasulullah SAW bertanya lagi kepada Iblis:
"Berapa banyakkah temanmu dari umatku?"
Iblis menjawab:
"Sepuluh orang:

1. Hakim yang zalim/tidak adil.
2. Orang kaya yang sombong.
3. Pedagang yang khianat.
4. Orang yang pemabuk/peminum arak.
5. Orang yang memutuskan tali persaudaraan.
6. Pemilik harta riba'.
7. Pemakan harta anak yatim.
8. Orang yang selalu lengah dalam solat/sering meninggalkan solat.
9. Orang yang enggan memberikan zakar/kedekut.
10. Orang yang panjang angan-angan/mengkhayal.



Mereka semua itu adalah sahabat handai dan teman-temanku yang akrab setia."

Dari dialog Nabi SAW dengan iblis di atas, kita tahu antara orang yang menjadi teman Iblis dan orang menjadi musuh iblis. Dari itu hendaklah kita selalu berhati-hati, jangan sampai kita menjadi kawan iblis, kerana siapa yang menjadi kawan iblis bererti menjadi musuh Allah. Demikian sebaliknya, sesiapa yang menjadi musuh iblis bererti menjadi kawan/kekasih Allah. Kerana itu, jadilah kita sebagai musuh iblis.

Rabu, 25 Jun 2008

Khas Untuk Kaum Wanita

Dipetik dari Kitab Muhimmah karangan Sheikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathoni 1384 Hijrah(mafhumnya)

Diceritakan oleh Sayyidina Ali RA;
Pada suatu hari aku masuk ke dalam rumah Nabi SAW. Dan bersamaku isteriku, Siti Fatimah RA. Maka apabila aku dekat dengan pintu, Nabi SAW bersabda:

"Siapa yang dipintu itu?"

Maka sahut Siti Fatimah:
"Kami dengan suami kami, Ali. Hamba datang untuk menghadap engkau ya Rasulullah".

Maka tatkala Rasulullah membuka pintu, tiba-tiba kami dapati Nabi dalam keadaannya menangis, sungguh-sungguh menangis. Maka kataku(Sayyidina Ali RA.) baginya:

"Penebusmu adalah aku, engkaulah bapaku dan ibuku Ya, Rasulullah. Apakah yang menyebabkan engkau menangis?"

Maka sabda Rasulullah SAW:

"Sesungguhnya aku telah lihat pada malam mikraj, beberapa perempuan di kalangan umatku di dalam seksa yang amat sangat. Disebabkan sangat salahnya pekerjaan mereka itu. Kerana itulah yang menyebabkan aku menangis melihatkan keadaan mereka yang diseksa".

Berkata Sayyidina Ali RA :

"Ya, Rasulullah, bagaimanakah engkau lihat keadaan mereka itu?

"Maka sabda Rasulullah SAW:

"Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dengan dua kakinya dalam keadaan terikat lagi terlipat dan telah mengeluarkan segala malaikat yang menyiksa itu dengan dua tangannya daripada pihak belakang lalu dilumurkan minyak tanah pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk ke dalam lehernya. (Buah zaqqum itu adalah buah kayu di dalam neraka yang amat pahit dan apabila ahlii neraka yang memakannya, nescaya menggelegak (mendidih) segala isi perut mereka, otak dan gusi mereka dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka),

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan dibawahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dan sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan kemudian ditambatkan pula dua susunya kepada ubun-ubunnya dan dijadikan diatas badannya ada beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaannya buta, tuli dan kelu. Di dalam kerongkongnya ada api neraka yang menyebabkan keluar otak daripada kepalanya lalu mengalir pula ke dalam hidungnya.Disebabkan itu badannya berbau teramat busuk dan dia menggelupur seperti terkena penyakit yang dahsyat,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan dipotong segala daging di setiap anggota badannya dengan menggunakan gunting api neraka,

Aku melihat pula seorang perempuan yang digantung dalam keadaan hitam mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya,

Aku melihat seorang perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai dan di atasnya itu beribu-ribu warna daripada azab,

Aku melihat pula seorang perempuan berupa anjing dan api neraka masuk daripada bawah duburnya dan keluar api daripada mulutnya dan sekalian malaikat memukul kepala dan badan mereka dengan pemukul api neraka.

Mendengarkan kisah itu, berdirilah Siti Fatimah RA disisi Nabi SAW lalu berkata:

"Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan kepadaku apakah dosa-dosa mereka itu sehingga mereka diseksa sedemikian rupa?"

Nabi SAWbersabda:

"Perempuan yang digantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang tidak mahu menutup rambutnya didepan lelaki yang haram memandangnya,

Perempuan yang digantung dengan lidah dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya;ini adalah seksaan bagi perempuan yang menyakiti hati suaminya.

Perempuan yang digantung dengan dua susunya dan buah zaqqum dituangkan ke dalam lehernya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memberikan air susunya kepada bayi lain tanpa izin suaminya.

Perempuan yang yang digantung dengan dua kakinya dan di dalam kerongkongnya api nereka; ini adalah seksaan bagi perempuan yang keluar rumah tanpa izin suaminya.

Perempuan yang digantung dalam keadaan dia memakan dagingnya sendiri sedangkan api neraka dinyala-nyalakan di bawahnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang memperhiaskan dirinya didepan orang lain bukan didepan suaminya.

Perempuan yang digantung, sekalian malaikat menambat dua kakinya kepada dua susunya dan ditambat pula dua susunya kepada ubun-ubunnya,dijadikan atas badannya beberapa ekor ular dan kala yang mana ular dan kala itu akan memakan daging dan meminum darahnya; ini adalah seksaan bagi mereka yang tidak mahu bersuci daripada mandi junub, haid dan nifas dan bagi mereka yang meringan-ringan sembahyang.

Perempuan yang digantung dalam keadaan buta, tuli dan kelu. Dan di dalam kerongkongnya ada api neraka;ini adalah seksaan bagi perempuan yang berzina sehingga mendapat anak lalu mengatakan bahawa anak itu adalah anak suaminya.

Perempuan yang digantung kepalanya seperti kepala babi dan tubuhnya seperti tubuh keldai;ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengadu domba/batu api) dan banyak berdusta.

Perempuan yang berupa anjing, api masuk ke dalam mulutnya dan keluar dari duburnya; ini adalah seksaan bagi perempuan yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan pertolongannya kepada orang lain dan juga bagi mereka yang suka dengki- mendengki.

~Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah kami mohon perlindungan-Mu dari segala azab yang memedihkan. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu. Amin Ya Rabb...

Jumaat, 13 Jun 2008

Pilot Peluk Islam Terkesan Dari Kelebihan Ulama

Oleh husamjr

" Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84. Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :

1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.
2. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur
3. Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.
4. Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.
5. Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.
Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam. Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Al-Fatihah.

Selasa, 10 Jun 2008

Hujah pemimpin negara yang membodohkan rakyat

1.Harga minyak terpaksa dinaikkan ekoran harga minyak di peringkat antarabangsa melambung tinggi.

Kenapa pula Malaysia perlu sakit. Sedangkan Malaysia negara pengeluar minyak bukan pengimport minyak.

Kalau harga minyak dunia naik maka negara kita akan bertambah kaya. Analogi yang lain, kalau kita ada dusun durian, tentu kita dan keluarga gembira kerana harga buah durian mahal.

Anak kita boleh makan dengan puas dan kita pula boleh dapat wang banyak. Tetapi pemimpin BN-Umno pula pelik apabila harga minyak dunia naik, rakyat pula menderita terutama mereka yang berpendapatan rendah.

2.Harga minyak kita lebih murah jika hendak dibanding dengan negara Asean yang lain.

Jangan banding dengan Thailand, Indonesia. Perlu banding dengan Brunai kerana harga minyak di negaranya RM1.20 seliter.

Buah Oren dengan epal tidak boleh buat perbandingan. Perlu dingat juga, walaupun Indonesia, Thailand minyaknya mahal, tetapi barang keperluan harian dan pakaian serta barang yang sudah siap murah seperti makanan, pakaian, alat perabot semuanya murah.

Di negara kita semuanya mahal daripada minyak sampai kepada keperluan yang lain. Yang murah hanya maruah pemimpin Umno-BN sahaja.

3. Minyak di Singapura lebih mahal daripada Malaysia.

Singapura bukan negara pengeluar minyak.

Tambahan pula pendapatan rakyatnya tinggi, contohnya pencuci lantai gaji hampir RM2000 ringgit di Malaysia, hanya RM600. Begitu juga pengangkutan awam antara yang terbaik di dunia, di Negara Malaysia Hadhari paling teruk.

Di negaranya tol hanya dikenakan waktu tertentu sahaja, sedangkan di Malaysia siang malam, 'non stop'.

4. Wang subsidi petrol RM56 bilion akan digunakan untuk pembangunan. Kita hendak tanya ke mana wang subsidi ini akan pergi.

Adakah hendak belanja untuk Monsun Cup yang menghabiskan wang rakyat RM 250 juta, Formula 1 yang berapa kerat rakyat yang mampu hendak menonton. Sedangkan belanja untuk Formula 1, tahun 2004-RM98.4 juta, tahun 2005-RM110.7j, 2006-RM121.8j, 2007-130.5j.

Belanja konduktor Malaysian Philharmonic Orchestra sebanyak RM3.5 juta sebulan yang diambil daripada wang Petronas. Apakah ini yang dimaksudkan untuk pembangunan.

Ketika minyak naik 30 sen kerajaan mengumumkan RM4 bilion subsidi akan digunakan untuk memperbaiki pengangkutan awam. Kita tidak nampak pengangkutan awam bertambah baik malahan makin teruk.

5. Ucapan lidah bercabang pemimpin negara, kesian rakyat kerana minyak naik. Ucapan hanya hendak menyejuk hati rakyat.

Kalau mereka kesian kepada rakyat mereka mesti memikirkan masalah rakyat. Pak Menteri tidak kisah elaun dan gaji hampir RM56 ribu sebulan. Minyak naik RM5 seliter pun mereka tidak kisah.

6. Pemimpin Umno-BN berkempen supaya beli barang murah.

Kita hendak tanya kedai mana ada jual barang murah. Kalau ada barang keperluan yang murah boleh dibeli di pejabat Umno baguslah.

7. Hendak ambil tindakan kepada peniaga yang jual barang mahal.

Pemimpin Umno/BN kata jual dengan harga lama masih untung. Mana ada peniaga hendak jual barang murah kalau modal sudah mahal.

Kalau minyak naik, semua barang akan naik, kerana barang bukan bawa dengan beca roda tiga.

Persatuan Lori sudah mengumumkan bahawa mereka akan naik tambang kos pengangkutan 35 peratus. Kerana lori 10 tan dulu hanya perlu untuk minyak RM3000 sebulan sudah mencecah naik kepada RM5000.

8. Kenyataan pemimpin Umno yang hendak membodohkan rakyat supaya jangan marah apabila minyak naik.

"Kita bimbang sekiranya minyak murah rakyat tak cermat dan minyak akan kurang,"kata Perdana Menteri.

"Belanja secara berhemah,"kata Datin Rosmah Mansur.

"Ubah gaya hidup...membazir Islam marah,"kata Dato' Seri Najib.

Datuk Seri Shahidan Kasim sewaktu minyak naik 30 sen dulu dia suruh pegawai kerajaan naik basikal.

Saya hendak cadangkan supaya pemimpin Umno-BN ambil cermin suluh muka baru boleh nasihat rakyat.

Inilah rupa pemimpin yang memerintah negara kita hari ini. Ya Allah selamatkanlah negara. - Ustaz Idris Haji Ahmad
Tue | Jun 10, 08 | 11:07:35 am MYT _

Khamis, 8 Mei 2008

Tabarruj Dan Aurat



SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.

Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.

Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.

Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?

Aurat berasal daripada bahasa Arab, ‘Aurah’ yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)

Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:

# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur, ayat 31)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.

# Pakaian yang longgar.

Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.

Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: “Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain ‘qubtiyyah’ (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: “Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.” Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: “Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya).”

Menurut Ibn Rusyd, ‘qubtiyyah’ ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.

# Pakaian yang tidak jarang.

Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya.”

Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.

# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.

Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka.”

# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: “Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.”

Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.

# Tidak bertabarruj.

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama).” (Surah al-Ahzab, ayat 33)

Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.

Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.

Rabu, 7 Mei 2008

Apa yang depa nak daripada Mahasiswa al-Azhar???



Karnival Kerjaya dan ucapan PM telah berlalu... Namun dalam fikiran saya masih terbuku seribu tanda tanya. ????????? Apakah motif program santai sebegini dibuat. Emmmm, nak habiskan duit ke? atau nak menunjuk-nunjuk? Saya nak kongsi dengan kalian yang sudi membaca.
Hari Pertama.

Hadirnya saya pada hari pertama di Dewan CICC yang serba mewah bersama teman-teman yang lain kerana menghormati pimpinan tanah air No 1 yang hadir di Mesir. Sebelum majlis bermula, saya lihat ramai AJK dari kalangan manusia yang tak pernah saya lihat sebelum ni. Semua dok buat kalut semacam je. Mungkin nak jaga sungguh majlis Pimpinan no 1 ni. Tak mahu lihat cacat cela yang akan berlaku kot. Harap-harap x hipokrit la. Saya tengok semasa majlis belangsung, teman-teman yang bertali leher dan berkot semua dok tidur, semua kepala sama lentok ke sebelah kiri. Mungkin letih kot. Saya bersangka baik je..

Setelah selesai Majlis Ucapan PM, semua pakat keluar dan lepak di luar dewan dan tak ada hala tujuan. Ada yang tangkap gambar, bersembang, balik rumah, merokok dan lain-lain. Memang AJK tak kuasai program langsung. Saya pun naik hangin sebab maklumat diberi "Selepas ini akan solat bersama". So.. saya dan teman yang lain pun cari tempat solat. Signboard ada tulis hala ke surau, tapi AJK halang untuk masuk ke dalam. Mungkin nak jaga VIP yang ada di dalam. Orang nak solat pun di asing-asingkan, Meh la solat sekali. Memang pelik hangpa ni. Bila saya selesai solat zohor setelah merempuh masuk ke tempat yang dilarang. Tak ada apa-apa pun yang bermasalah, Orang bawahan je nak sangat jaga VIP. kononya la.ishh...Sepatutnya bagi la pelajar beramah mesra bersama VIP. Baru mesra rakyat namanya.

Time melawat pameran, baru saya tahu yang program ni bawah Kelab UMNO Luar Negara. Emmm.. Awat tak cakap awal-awal? Boleh saya pakai baju UMNO je. Tapi saya buat muka penuh selamber kerana ingin melihat kerenah dan telatah mahasiswa/wi yang diperalatkan. Ada yang ambil borang kerjaya, mengutip pamplet, membolot beg, pen dan lain-lain. Tak kurang juga yang ambil dan isi borang Kelab UMNO. Mungkin berlakon kot...

Saya melihat di pameran yang berlansung amat memalukan dan merunsingkan. Laki dan perempuan boleh melaga-laga bahu ketika berselisih, bersentuhan ketika merebut cenderahati, bahan-bahan dan sebagainya, Bersembang dengan rancak terutama ahli kelab nadi UMNO la... Ini realiti yang saya dapat tengok sendiri. Baguslah... Ini yang dinamakan open minded, sentiasa terbuka dan tidak jumud. Ketika makan tengahari pun sama, Ambil makanan pun berebut-rebut antara laki dan perempuan. AJK tak ada ke? Kalau betul nak jaga suasana Islam. Buat la untuk lawatan pameran berkala, antara laki dan perempuan secara berasingan. Baru bersistematik dan Islamic.. Agak boring program ni, saya balik rumah je...

Persoalan yang saya nak timbulkan... Mengapa peluang pekerjaan banyak di buka di Mesir? Sedangkan ramai yang menganggur di Malaysia. Tak kurang yang kena buang pekerjaan. Apa yang hebatnya mahasiswa Islam di Mesir? Yang peliknya...Tawaran syarikat tak banyak pun. contoh sebagai translate bahasa arab sebab thakhasus bahasa arab di sini. Tapi, bila temuduga kena cakap bahasa inggeris. Pelik kan?

Hari Kedua

Hari kedua saya tak datang...Sebab saya dah meluat. Namun ada kawan saya yang pergi ke sana. Ternyata kain rentang dok bubuh logo Kelab Umno Luar Negara. Bagus la tu...Menteri yang datang sepatutnya atas tiket wakil kerajaan Malaysia, bukan wakil UMNO. Mereka halang mahasiswa berpolitik tapi depa yang khianati ketetapan yang dibuat. Ingat kita budak-budak ke? Nanti pakat tubuh KelaB PAS. Baru nak terangkat sikit kot...

Hari Ketiga

Majlis di ARMA bersama Jamal Abdillah, ceramah tentang dadah. Saya pun minat gak dengan konsert ni masa nakal-nakal dulu. Sekarang boleh tahan la jugak. Namun kedatangan saya ingin melihat gelagat mahsiswa Islam di sini. Firstly Jamal dan Pengarah Pengasih berceramah tentang dadah. Saya rasa kalau panggil jamal dan Ketua Polis Negara pun bagus jugak..hehhe. Baru kena cara, sebab polis orang yang bertanggungjawab atasi masalah dadah. Biar la...dah lepas. Saya tengok orang tak la ramai sangat. Akhawat pun tak ramai. Tak tau la kot ada yang pulun jugak bersorak. Di ARMA ni saya terasa hangin satu badan dan malu bangat. Ketika Jamal panggil untuk menyanyi bersamanya. Orang di dalam dewan jadi kelam kabut, ramai yang bangun dan nak naik ke pentas. Dua orang yang mendahului daripada yang lain yang dijemput ke atas pentas. Ingatke sape!!! Bakal ulama'rupanya dan sape entah sorang lagi...??? Ini yang depa nak...Mahasiswa Islam boleh terima apa yang depa ajak. Seumpama ulama' yang mengikut punggung umara'.

kisah lagi, bila Jamal selesai menyanyi dengan sorakan dari penonton yang memeransangkan, tetamu VIP mula berangkat ke dewan makan. Anak dara mana pun saya tak tahu yang pulun berkepit nakk bergambar dengan Jamal. Saya bukan cemburu tapi malu la sifat diaorang tu. Ikhwah tu saya tak kisah sampai nak cium tangan sekalipun. Ada Mak Datin mana entah yang 2, 3 orang yang free hair (tak pakai tudung) diiringi oleh Pengerusi Islam Hadhari dan kuncu-kuncunya. Bila sesi photografi, pengerusi Islam Hadhari pun join sekali. Aku tengok macam tak ada masalah berlaga bahu, berkepit dengan Mak datin tu. sedangkan depa dok mengaji dan tahu hukum hakam. Ini yang saya lihat di depan mata. Saya perli gak si Pengerusi Islam Hadhari tu...nasib tak penumbuk je...

Dalam kelalutan orang dok keluar dewan, ada wartawan RTM, kalau tak salah saya yang nak temuramah mahasiswa Islam Mesir..Mula-mula kawan saya kena temuramah...Dia test dulu. Bila dia tanya kawan saya pandangan tentang perhimpunan BERSIH. So kawan saya cakap no komen, terus kena reject. Last-last dua orang nadi umno kena temuramah. Memang lingkup la. Dah la rambut ber colour putih. Memang cantik imej Mahasiswa Islam Mesir yang depa bawa.

Saya lalui semua ini penuh dukacita dengan sikap pimpinan kerajaan Malaysia, sahabat dari kelab UMNO dan Islam Hadhari. Mengapa acuan yang buruk di bawa di sini? Sepatutnya korang la sebagai pembimbing dan petunjuk kepada orang yang jahil.

Firman Allah S.W.T
Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu "Berangkatlah(untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini(dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (At-Taubah 38)

Sesungguhnya habuan Allah di Akhirat amat diidam-idamkan. Janganlah hanya memikirkan habuan di dunia sahaja. Mereka yang redha dan benarkan maksiat berleluasa adalah hanya memikirkan kepentingan duniawi dan kepentingan diri sahaja. Ingatkan diri saya, mereka dan kita semua tentang kehidupan akhirat yang hakiki...Wassalam

sumber : mharaki