Rabu, 30 Julai 2008

Ranjau Sepanjang Jalan - Episod 1

Assalamualaikum kepada pengunjung yang setia menziarahi blog yang serba kekurangan ini. Setelah saya mengeluarkan artikel bertajuk MADIWA dan Hilangnya Sebuah Permata, ramai yang memberikan komen melalui YM mahupun bertentang mata dalam membuahkan pendapat. Ramai juga meminta cerita lebih lanjut tentang perjuangan Al-Marhum Us Mansor sehingga tertubuhnya MADIWA.. Alhamdulillah, selaku abang ipar bekas Timbalan Pengarah MADIWA, Us Mohd Halim Bin Mat Saman dengan sendirinya menghantar artikel tersebut. Atas tujuan membersihkan nama beliau dan keluarga MADIWA, saya selaku orang luar dan bekas pendidik MADIWA rasa bertanggungjawab mengeluarkan artikel ini. Segala copy paste diminta memberikan nama dan laman yang ingin diletakkan. Kerana demi menjaga kemaslahatan ayat dan cerita. Ini merupakan salinan asal dan tiada tokok tambah, bermakna jika terdapat perubahan ayat dan tokok tambah cerita dari blog lain, bermakna ia bukanlah asli dan pembohongan semata-mata.

RANJAU SEPANJANG JALAN
Usaha memartabatkan Madrasah Al-Akhlak
Al-Islamiah hingga tertubuhnya
MADIWA
1989 – 2003

1989 : Bermulanya era baru dalam diari kehidupan Tuan Haji Mansor b. Awang @ Haji Maamor dalam arena pekerjaan daripada seorang pegawai kerajaan kepada seorang yang berkhidmat untuk memperkembangkan dan memperjuangkan pengajian agama apabila dirayu untuk bersama-sama menghidupkan kembali kegemilangan Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah, Jalan Banjar, Masjid Tinggi, Bagan Serai, Perak setelah sekian lama dilanda gerhana kemerosotan.

Kehadiran Tuan Haji Mansor di Madrasah Al-Akhlak Al-Islamiah pada tahun 1989 adalah atas permintaan dan keputusan Jawatankuasa Al-Akhlak dan juga permintaan daripada Al-Marhun Us. Haji Abd. Rahman selaku Mudir Madrasah Al-Akhlak ketika itu. Atas dasar permintaan tersebut Tuan Haji Mansor menerima pelawaan untuk dilantik sebagai Pengerusi Madrasah Al-Akhlak yang bertindak sebagai orang yang bertanggungjawab untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dicapai oleh Madrasah Al-Akhlak pada satu masa lalu.

Berbekalkan keyakinan terhadap usaha yang bersungguh-sungguh dan strategi yang mantap Al-Akhlak pasti boleh dibangunkan sebagai pusat pengajian yang beketerampilan dan mampu bersaing dengan institusi pengajian yang lain. Langkah pertama yang diambil ialah berusaha untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan Madrasah Al-Akhlak untuk menerima dan mendidik pelajar menjadi insan yang cemerlang dan disegani masyarakat seperti masa lalu.


Lantaran itu, agenda disusun, perancangan diatur, usaha dipertingkat dan keyakinan perlu diperteguhkan. Biar apapun kata masyarakat dan biar seburuk manapun pandangan umum terhadap usaha murni ini, namun amanah yang diberikan oleh Tuan Guru Haji Abd. Rahman Ayahda kepada masayarat Masjid Tinggi tetap akan dipegang dimana beliau pernah memberikan amanah disuatu subuh ketika Us. Haji Mansor datang kerumahnya mengadu tentang kedudukannya yang semakin disingkir dan dipandang serong terhadap usaha yang telah dilakukan untuk memajukan Al-Akhlak. Ketika itu terdetik di hati kecil Us. Haji Mansor untuk melangkah meninggalkan Al-Akhlak kerana sudah tidak mampu menanggung tohmahan, ejekan, sindiran yang memedihkan dan cercaan yang menghinakan.

Us. Haji Mansor ikhlas menyatakan bahawa ketika itu ada insan yang tidak percaya atau sengaja tidak mahu memahami tentang usaha dan pengorbanan beliau untuk memajukan Al-Akhlak dengan melemparkan kata-kata kesat. Seketika terdengar pepatah sumbang yang menyucuk diteliga seakan terpecah gegendang teliga apabila mendengarnya "Us. Mansor tu Lebih Camca Dari Bubur" , "Us. Mansor Cakap Saja Besar, Kerja Tak Seberapa" , "Us. Mansor Menyalah gunakankan Wang Akhlak" , "Cerita Us. Mansor Tu Macam Cerita TV je, bila tutup habis lah dia" , "Kita kena siasat kerja Us. Mansor kemana dia pergi siang malam tak pernah lekat di ruman, kelaspun dia abaikan" , "Us. Mansor tu mana ada ilmu, bahasa arab diapun tak betul" , " Us. Mansor tak boleh dipercayai, semua bohong" dan banyak lagi. Pendek kata bila sebut saja nama Us. Mansor memang tak ada yang baik semuanya buruk belaka malah busuk pulak tu …………. Inilah dialog murahan yang biasa kedengaran dalam kekecohan sembang-sembang kedai kopi……… Mereka-mereka ini kebanyakannya tidak tahu hakikat sebenar. Memang kalau kerja mengutuk cukup best…….. lebih enak dari makan nasi lemak dan minum teh tarik…………….Lantaran itulah timbul rasa tidak selesa untuk bergaul dengan masyarakat setempat kerana persepsi yang ditimbulkan oleh masyarakat terhadap Us. Mansor amat tidak menyenangkan.

Demikianlah aduan Us. Mansor kepada Ayahanda Tuan Guru Haji Abd. Rahman. Ketika itu juga kata-kata nekad Us. Mansor untuk meninggalkan Al-Akhlak terluah juga di hadapan Ayahanda Tuan Guru Haji Abd. Rahman. Lantas jawab Tuan Guru "Kau Ku Anggap Seperti Anak, Aku Tidak Merelakan madrasah Al-Akhlak ini kau tinggalkan walaupun sebelah kaki". Nasihat Tuan Guru supaya banyak bersabar dan mengharapkan agar masyarakat akan sedar pada satu masa nanti. Kata-kata amanat Tuan Guru dijadikan azimat untuk meningkatkan semangat. Tidak lama kemudian Tuan Guru berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji dan meninggal di sana.

Semenjak itu semakin hari semakin hebat tentangan terhadap usaha yang dijalankan untuk memajukan Al-Akhlak. Akhirnya Us. Mansor terpaksa disingkirkan kerana khidmat beliau tidak diperlukan lagi di Madrasah Al-Akhlak. Dengan perasaan terharu kerana hajat dan amanah Tuan Guru tidak dapat diteruskan Us. Mansor terpaksa meninggalkan Al-Akhlak Al-Islamiah. Namun tertanam juga dilubuk hati niat bahawa kaki yang melangkah keluar dari bumi Al-Akhlak ini pasti akan kembali demi menyempurnakan amanah Tuan Guru itu.

Agenda dan Perancangan Semasa Di Al-Akhlak 1989-1990

1. Berusaha memartabatkan kedudukan Madrasah Al-Akhalak
2. Berusaha Mencari Pelajar untuk meramaikan pelajar al-akhlak
3. Menyusun strategi pengajian agar dipercayaai dan diyakini oleh masyarakat.
4. Carta Pengajian yang dicadang dan dijalankan di Madrasah Al-Akhlak ketika itu : Qismul Arabi / Thanawi 1 / Thanawi 2 / Thanawi 3 / Thanawi 4 / STA / Universiti Al-Azhar

Usaha Untuk Memajukan Al-Akhlak 1989-1990

1. Kempen untuk menarik pelajar untuk mengikuti program pengajian Madrasah Al-Akhlak di sekolah-sekolah agama dan pondok. (Dilakukan sendiri oleh Us. Mansor)
2. Kempen untuk mendapatkan pelajar melalui penjualan Kalendar/Taqwim di merata tempat (Dilakukan oleh Us. Mansor dan pelajar-pelajar).
3. Berusaha untuk menyerapkan pelajar Al-Akhlak untuk memasuki peperiksaan STA negeri.
4. Menyusun strategi baru ke arah kemajuan supaya tidak bergantung dengan orang lain dalam menyediakan hala tuju dan wawasan pelajar Madrasah Al-Akhlak. (Pada ketika itu tidak kesampaian).

Kejayaan di Madrasah Al-Akhlak 1989-1990

1. Pelajar Madrasah Al-Akhlak Bertambah.
2. Kantin Madrasah Al-Akhalak Dapat Dibina.
3. Surau Al-Akhlak Dapat Didirikan.
4. Bangunan Asrama usang yang sudah diselaputi rumput diperbaiki dan didiami.
5. Berjaya menghantar pelajar ke Al-Azhar melalui peperiksaan STA negeri Perak.


1991 Di Madrasah At-Tahzib, Titi Serong, Parit Buntar, Perak.

1991 : Jawatankuasa Madrasah At-Tahzib mengetahui bahawa Us. Mansor tidak lagi diperlukan di Madrasah Al-Akhlak. At-Tahzib mempelawa Us. Mansor supaya berkhidmat di Tahzib. Setelah memikirkan tentang pelawaan itu beberapa kali akhirnya pelawan itu diterima oleh Us. Mansor dan program yang dirancangkan di Madrasah Al-Akhlak dirancang dilaksanakan di Madrasah Al-Tahzib pula. Kerjasama Madrasah Tahzib terhadap program ini amat baik. Program STA di Tahzib dilaksanakan dengan panggilan nama Kelas Tafaqquh Fiddin yang bertujuan untuk persediaan bagi pelajar yang berhajat untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar.

Program ini berjalan beberapa tahun dan berjaya menghantar ramai pelajar ke Universiti Al-Azhar melalui peperiksaan STA. 1994 Atas cadangan Us. Mansor Tahzib berhajat untuk mengadakan program sendiri dan berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Universiti Al-Azhar supaya pelajar tahzib tidak perlu lagi bergantung kepada sijil STA. Us. Mansor diamanahkan untuk menjalankan tugas mendapatkan pengiktirafan ini. Pada tahun 1995 Us. Mansor diterbangkan ke Mesir untuk melaksanakan tugas tersebut dan pengiktirafan Tahzib untuk menghantar pelajar mengikuti pengajian tahun pertama Universiti Al-Azhar diterima oleh Al-Azhar. Semenjak itu, Tahzib tidak lagi perlu bergantung kepada STA untuk menghantar pelajar ke Al-Azhar.

Pada Tahun 1997 Satu Munaqasyah / perbincangan diadakan antara ahli akademik universiti tempatan bersama pegawai JAIP dan sebahagian besar Mudir-Mudir sekolah agama rakyat Kerian untuk menubuhkan satu institusi pengajian yang dikira dapat menampung dan membela nasib anak didik sekolah agama rakyat dan pondok. Rancangan ini disokong penuh oleh semua anggota dan perlaksanaannya tertakluk kepada usaha dan kegigihan Us. Mansor sendiri.

bersambung....

Tiada ulasan: