Kembali Ke Al-Akhlak April 1997
Setelah mendapat pandangan dan sokongan daripada ahli yang bersidang dalam perbincangan berkenaan, kelas Tafaqquh Fiddin dipertingkatkan dan dinaiktaraf sebagai kelas lanjutan bagi persediaan menerima kehadiran pelajar yang lebih mantap dari segi kemampuan ilmunya. Nama Kuliah Tafaqquh Fiddin juga dicadangkan ditukarkan kepada AL-MA'HAD AL-A'LI LIDDIRASATIL ISLAMIAH WAL-ARABIAH (MADIWA). Semenjak itu usaha untuk merancang bagi mendapatkan pengiktirafan juga dilakukan. Bilangan pelajar di Tahzib semakin ramai dan tahzib sudah hampir tidak mampu menampung kehadiran pelajar yang saban hari meningkat. MADIWA terpaksa mencari jalan untuk memindahkan pelajarnya ke satu tempat yang lain untuk memberikan keselesaan kepada Tahzib.
Kebetulan pada waktu itu, Madrasah Al-Akhlak semakin murung, lesu dan hampir tidak mempunyai pelajar. Terdengar desas desus menyatakan Al-Akhlak mahu tidak mahu terpaksa akur dengan keadaan yang menimpa. Keadaan ini sampai ke pengetahuan Us. Mansor dan merasa terpanggil untuk menghubungi Al-Akhlak supaya membenarkan MADIWA meminjam bangunan dan kemudahan yang terdapat di Al-Akhlak untuk bertapak di bumi Al-Akhlak sebelum keadaan tersebut berpanjangan seperti sebelum tahun 1989 dimana asrama, rumah, surau dan kantin menjadi usang.
Lantaran itu, keputusan AJK Al-Akhlak bersetuju meminjamkan segala kemudahan bagunan dan isinya kepada MADIWA malah ada juga yang berkata "kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan" untuk menerima kehadiran MADIWA. Semua AJK Al-Akhlak dan Us. Mansor bersedia melupakan pertelingkahan dan salah faham yang lalu. Sejak itu berhijrahlah MADIWA dari bumi Tahzib ke Al-Akhlak semula. Penghijrahan ini diharapkan dapat menghasilkan kerjasama yang baik antara semua pihak dan akhirnya akan memberi manfaat kepada semua.
Tahun 1997
MADIWA mula menyusun manhaj dan sukatan pelajaran yang dicadangkan untuk diajukan kepada AJK pengiktirafan sijil Universiti Al-Azhar. Pada pertengahan tahun 1997 sukatan pelajar tersebut dihantar ke Al-Azhar oleh Us. Mansor sendiri untuk dinilai oleh AJK tersebut untuk diiktiraf. 28 Oktober 1997 program kuliah Syariah MADIWA diiktiraf oleh AL-Azhar. 5 November 1997 Program Usuluddin MADIWA pula diiktiraf. (maklumat seterusnya akan dinyatakan di halaman seterusnya)
Apabila mendapat pengiktirafan, MADIWA mula merancang untuk mengembangkan kurniaan Allah ini seluas-luasnya kepada masyarakat. Lantaran itu MADIWA berhajat untuk membina kompleks pengajian sendiri yang dicadangkan dibina di Lot. 14764 Jalan Banjar, Masjid Tinggi. Atas dasar kerjasama, niat serta amanah Al-Marhum Tuan Guru Haji Abd. Rahman supaya Us. Mansor mengembalikan kegemilangan Madrasah Al-Akhlak di Bumi Al-Akhlak maka tujuan MADIWA untuk membina bangunan ini juga adalah kerana amanah tersebut. Oleh yang demikian MADIWA meminta supaya AJK akhlak pada masa itu membenarkan MADIWA membina kompleks pengajian di tanah milik Al-Akhlak. Keputusan mesyuarat AJK pada waktu itu membenarkan MADIWA membina bangunan tersebut dengan syarat apabila ditakdirkan MADIWA lenyap atau mati atau Al-Akhlak mampu bangun semula dan perlu kepada bangunan maka MADIWA terpaksa berundur untuk memberi ruang kepada Madrasah Al-Akhlak. Syarat ini diterima oleh MADIWA kerana pada anggapan Us. Mansor MADIWA dan Al-Akhlak adalah sesuatu yang perlu disatukan walaupun dalam anggapan sesetengah pihak ianya mustahil berlaku.
Sejak tahun 1998 MADIWA berusaha untuk merialisasikan hasrat ini, namun dalam tempoh tersebut MADIWA masih belum diizinkan Allah untuk mempunyai kompleks pengajian sendiri. Terlalu banyak cubaan, ujian dan rintangan untuk dijadikan pengalaman dan pengajaran yang telah dilalui oleh MADIWA. Pernah satu ketika ada insan yang melihat terdapat keuntungan dari segi kebendaan di sebalik pengiktirafan yang diperolehi oleh MADIWA. Lalu ia mempelawa Us. Mansor supaya menyerahkan segala tugas pembinaan bangunan kepadanya dan sanggup menyediakan bangunan tersebut dengan syarat ianya hendaklah dilantik sebagai salah seorang pemegang saham dalam urusan perjalanan MADIWA. Cadangan ini ditolak oleh Us. Mansor kerana memandangkan tujuan asal penubuhan MADIWA bukan untuk tujuan perniagaan.
Pernah juga satu ketika MADIWA dipujuk untuk diserahkan kepada satu Badan Korporat dengan menawarkan wang berjuta sebagai pampasan. Dan MADIWA juga pernah ditawarkan untuk dijadikan kolej Negeri oleh kerajaan. Ada juga yang cuba untuk menawarkan tanah bagi tujuan membina kompleks MADIWA. Semua cadangan ini ditolak oleh Us. Mansor kerana yakin bahawa kompleks MADIWA tetap akan dapat didirikan, Cuma masa dan ketikanya sahaja yang masih belum sampai.
Setelah mendapat kebenaran dan persetujuan AJK akhlak bagi MADIWA membina Kompleks Pengajian di tanah Al-Akhlak, usaha untuk mendapatkan dana dijalankan. Namun timbul pula masalah lain yang melibatkan AJK pembinaan yang diberikan amanah untuk mencari dana pembinaan bangunan. Namun MADIWA sedikit sebanyak melalui perlantikan AJK pembinaan tersebut, berjaya juga mendapatkan kelulusan plan bangunan daripada kerajaan dan berjaya menambak tapak bagi projek tersebut. Ada juga mereka yang tidak sabar dan melihat bahawa MADIWA gagal untuk menunaikan cadangan membina kompleks tersebut lalu meluahkan kekecewaan dengan kata-kata "alangkah ruginya kita menyerahkan tapak tersebut, pokok sawit sudah habis ditebang, tapi bangunan masih belum dapat dibina, jika sawit itu tak ditebang dapat juga kita hasilnya". Orang yang pandai bercakap itu tidak tahu bagai mana payahnya dan susahnya MADIWA berusaha selama ini. Sumbangan tenaga dan sokongan moral tak pernah pula diberikan malah kutukan pula yang dilemparkan.
Cubalah faham bahawa jangan diperkecilkan cita-cita MADIWA. Biar orang berkata MADIWA berangan-angan tapi, kita tak akan berjaya atau maju tanpa angan-angan dahulu kemudian susulilah dengan cita-cita dan usaha serta tawakkal.
2003 (MADIWA Diiktiraf Kenenterian Pendidikan Melalui Jabatan Pendidikan Swasta (JPS), MADIWA Diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
25 November 2002 , MADIWA mendapat pengecualian daripada berdaftar di JPS atau Jabatan Pendidikan Swasta sekali gus mengiktiraf perjalanan MADIWA sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam. 11 Januari 2003 program pengajian 2+2 dan 3+1 MADIWA mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan